• Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat Khalid Samad, Ahli Parlimen Shah Alam dan Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat
1 / 1
SHAH ALAM - Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad akur dengan sebarang keputusan yang bakal diambil Pas termasuk meletakkan jawatan sekiranya Sultan Selangor masih murka dengan penjelasannya berhubung cadangan menghapuskan kuasa eksekutif Majlis Agama Islam Selangor (Mais).

Khalid berkata setakat ini, Pas telah memintanya memberikan penjelasan mengenai cadangan tersebut namun belum dipanggil berjumpa dengan barisan pemimpin tertinggi parti itu.
  
"Setakat ini saya serah pada parti, kalau parti rasa Sultan murka malah terus murka walaupun sudah diperjelaskan dan Pas kata saya perlu letak jawatan untuk kepentingan parti, saya akan letak jawatanlah.
  
"Saya di sini sebab parti yang lantik saya sebagai calon... selagi mana ia akan datangkan kebaikan pada parti, saya akan terus berkhidmat dan berharap salah faham dan salah maklumat yang disyaki punca ia berlaku dapat diperjelaskan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.
  
Khalid, yang juga Timbalan Pesuruhjaya III Pas Selangor, berkata surat memohon menghadap Sultan Sharafuddin Idris Shah telah diutuskan kepada pihak istana petang semalam untuk diberi ruang menjelaskan situasi sebenar berkenaan cadangan tersebut namun masih menunggu respons daripada institusi itu.
  
Cadangan yang dibuat Khalid pada 18 Jun lalu menimbulkan kemurkaan Sultan Sharafuddin dalam titahnya pada Selasa lepas sehingga wakil rakyat tersebut dilihat sebagai biadab, jahil dan menunjukkan penentangannya kepada kuasa Baginda sebagai ketua agama Islam di Selangor.
  
"Saya meminta maaf dan ampun sekiranya apa yang saya sebut atau tulis memberikan gambaran sedemikian rupa kepada Baginda. Saya tiada niat walaupun seberat zarah untuk bertindak biadap apatah lagi mencabar kuasa Sultan," katanya.
  
Namun demikian, Khalid masih melahirkan rasa kelirunya atas kemurkaan tersebut kerana menganggap cadangannya itu semata-mata mahu menyelamatkan imej Sultan Selangor berikutan dasar pelaksanaan yang diamalkan Mais itu sering menimbulkan masalah.
  
Tambah beliau, pelaksanaan yang dijalankan Mais mengikut undang-undang perlu sentiasa ditambah baik mengikut peredaran zaman malah menegaskan enakmen sedia ada bukan lapuk seperti didakwa namun dilihat lebih wajar dikemas kini.
  
"Saya akui pentingnya peranan Mais dalam menjaga agama...cadangan ini dikemukakan kerana yang selalu timbul masalah adalah dari sudut pelaksanaan sama ada berhemah atau sebaliknya...dasar sedia ada kita terima cuma pelaksanaannya saja," katanya.
  
Menurut Khalid, walaupun beliau bukan individu yang digemari Mais, namun cadangannya adalah sebagai teguran kepada institusi itu supaya sentiasa memperbaiki perihal sistem pelaksanaannya supaya tidak lagi timbul masalah pada masa akan datang yang boleh terus mencemar nama baik Mais. - Bernama