• Tun Dr Mahathir Mohamad
 1 / 1 
KUALA LUMPUR – Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan pelantikan Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Perdana Menteri negara dibuat hanya semata-mata untuk membalas jasa bapanya, Tun Abdul Razak Hussein.

Beliau berkata, Tun Abdul Razak yang merupakan Perdana Menteri negara kedua pada masa itu pernah menjadikan beliau sebagai seorang Menteri sebelum dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

Jelasnya, keputusan Tun Abdul Razak yang membawanya kembali ke dalam Umno membuka ruang kepadanya untuk dilantik sebagai Perdana Menteri dan memerintah negara.

“Tun Abdul Razak adalah mentor dan idola saya. Kalau bukan kerana dia, saya tidak akan jadi Perdana Menteri.

“Bila kita terhutang budi kepada orang yang meninggal dunia, kita harus membalas budinya kepada anak-anaknya dan cucu-cicitnya. Saya berhempas pulas untuk meletakkan anaknya ditempat yang akan menjadikan dia sebagai Perdana Menteri.

“… Saya terpaksa ‘berkelahi’ dengan Pak lah (Tun Abdullah Ahmad Badawi). Saya tulis surat kepadanya, gesa Pak Lah untuk jadikan Najib sebagai Timbalan Perdana Menteri supaya dia boleh ‘naik’ gantikan Pak Lah nanti,” katanya dalam program Bicara Negarawan yang diadakan di Kelab K, Taman Melawati di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pemilihan dan lantikan yang dibuat terhadap Najib, Dr Mahathir berkata, beliau tidak pernah kesal membuat pilihan tersebut.

Namun apa yang dikesalkan adalah kepimpinan dan pemerintahan Najib ke atas negara ini.

“Saya memang buat keputusan yang betul. Dalam kalangan kita ada ‘Mr Clean’, mestilah saya akan pilih pemimpin yang ‘bersih’, tak kan saya hendak pilih pemimpin yang ‘kotor’ pula.

“Saya memang membuat pilihan yang tepat pada masa itu, tetapi setelah dia menjadi Perdana Menteri saya tidak sangka ini yang akan dilakukannya,” katanya lagi.