• Gempa Bumi Orang ramai membantu mangsa yang berjaya dikeluarkan daripada runtuhan sisa bangunan di Kathmandu selepas Nepal digegarkan gempa bumi berukuran 7.9 magnitud, semalam. - Foto EPA
1 / 1
KUALA LUMPUR - Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (Smart), yang digerakkan untuk membantu usaha menyelamat mangsa gempa bumi di Nepal, berlepas ke Kathmandu pada 6.30 pagi tadi.

Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab berkata, pasukan tersebut terdiri daripada 30 anggota Smart dan 20 doktor berlepas dari Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang menaiki pesawat TUDM C-130.
  
"Tiga misi utama kami ialah membantu usaha mencari dan menyelamat, merawat mangsa dengan membuka hospital lapangan dan membawa pulang rakyat Malaysia di Nepal," katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.
  
Beliau berkata 20 doktor perubatan terdiri daripada anggota Mercy Malaysia, Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia dan Kor Kesihatan Angkatan Tentera Malaysia, yang turut membawa bersama peralatan dan bekalan perubatan.

Gempa bumi berukuran 7.9 pada skala Richter melanda Nepal di kawasan antara ibu negaranya Kathmandu dengan bandar Pokhara pada 2.56 petang (waktu Malaysia) pada Sabtu. Beberapa kejadian gempa susulan turut berlaku.
  
Setakat ini, tragedi gempa bumi paling teruk melanda Nepal dalam tempoh 81 tahun itu, mencatatkan 3,218 kematian dan lebih 6,500 orang cedera. - Bernama