• Azman Shapawi Azman Shapawi
1 / 1
KUALA TERENGGANU – Ketegasan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mempertahankan isu pelaksanaan hudud di Kelantan, membawa reaksi positif rakyat dan pengundi khususnya di kawasan Parlimen Rompin.

Pengerusi Lajnah Dakwah Pas Terengganu, Azman Shapawi Abdul Rani berkata, keadaan itu secara tidak langsung menampakkan kematangan Pas dan membuktikan parti itu tidak diperkuda DAP sebagaimana pandangan sesetengah pihak sebelum ini.

Menurutnya, walaupun tenaga DAP mungkin tidak membantu dalam PRK Rompin yang akan berlangsung pada 5 Mei ini berikutan isu itu, namun perkembangan baik dapat dilihat dalam kalangan pengundi Islam terhadap Abdul Hadi dan Pas.

Katanya, hudud juga mungkin boleh menjejaskan undi BN, selain faktor lain seperti cukai barang dan perkhidmatan (GST).

“Hudud dibincangkan sejak sekian lama, bukan untuk tarik pengundi. Ini matlamat utama Pas, DAP tidak boleh halang Pas untuk laksanakan kerana isu ini bukan politik, tetapi isu agama. Berbeza dengan isu pilihan raya PBT kerana ia adalah politik, sedangkan ini bukan politik.

“Lagipun, hudud akan dilaksanakan terhadap orang Islam di Kelantan sahaja, tiada kena mengena dengan bukan Islam, apatah lagi dengan DAP di Pulau Pinang,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Abdul Hadi bahawa Pas kekal dengan pendirian dan tidak akan bertolak ansur dengan DAP untuk melaksanakan hudud di Kelantan.

Abdul Hadi menegaskan, DAP tidak boleh memaksa kerajaan Kelantan meminta persetujuannya untuk melaksanakan sistem perundangan Islam yang sudah diluluskan dalam sidang Dun negeri itu.

Menurut Azman lagi, ketegasan Pas boleh menambah keyakinan pengundi Islam terutama yang mempunyai ilmu agama terhadap perjuangan parti itu.

Beliau yakin penentangan DAP terhadap pelaksanaan hudud berlaku kerana mereka tidak faham mengenai usul yang hendak dibawa dalam Parlimen.

"Ia bukan melibatkan keseluruhan hukum hudud, sebaliknya untuk mengemas kini peranan mahkamah syariah supaya hukum hudud boleh dilakukan terhadap tiga kesalahan iaitu minum arak, zina dan pertuduhan zina.

“Ia tidak melibatkan potong tangan atas kesalahan mencuri atau rejam pada orang murtad, sebaliknya naik taraf daripada enam sebatan kepada angka yang diputuskan supaya sesuai dengan syarak,” katanya.