• Datuk Mukhriz Tun Mahathir Datuk Mukhriz Tun Dr Mahathir
1 / 1
ALOR SETAR - Pemuda, Wanita dan Puteri Umno Kedah telah meminta Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir supaya tidak membuat sebarang kenyataan tentang pendirian Umno Negeri terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada 24 April ini.

Ketua Pemuda Umno Kedah, Datuk Shaiful Hazizy Zainol Abidin berkata, permintaan ketiga-tiga sayap Umno negeri itu telah disuarakan oleh mereka kepada Mukhriz dalam satu pertemuan hari ini.
  
"Kami tidak mahu menteri besar berada dalam keadaan yang sukar kerana semua sedia maklum hubungannya dengan Tun Dr Mahathir dan mahukan beliau memberi tumpuan 100 peratus untuk usaha memperkukuh parti dan mentadbir negeri.

"Kami juga bimbang jika kenyataan (Mukhriz) pada 24 April itu akan diputar belit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab," katanya pada sidang media di Bangunan Umno Kedah, hari ini.

[ ARTIKEL BERKAITAN: Beri masa Mukhriz buat pendirian ]

Menurut Shaiful Hazizy, ketiga-tiga pergerakan Umno itu di Kedah berdiri teguh dan menyokong kepimpinan Mukhriz yang juga Pengerusi Umno Kedah serta Perdana Menteri dan Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak.