• Khairy Jamaluddin Khairy Jamaluddin
1 / 1
KUALA LUMPUR - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin akan memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk memasukkan sabitan kes liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pernyataan pembelaannya dalam saman fitnah yang dikemukakan Anwar terhadapnya.

Perkara itu dimaklumkan peguam J. Leela, yang mewakili Anwar ketika ditemui pemberita selepas kes berkenaan disebut di dalam kamar Pesuruhjaya Kehakiman S.Nantha Balan yang turut dihadiri peguam Sarah Abishegam, mewakili Khairy.

Leela berkata Khairy memohon untuk meminda pernyataan pembelaannya bagi memasukkan sabitan kes liwat Anwar terhadap bekas pembantu peribadinya Mohd Saiful Bukhari Azlan yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 10 Feb lalu.   

Anwar kini menjalani hukuman penjara lima tahun di Penjara Sungai Buloh selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan meliwat Mohd Saiful pada 26 Jun 2008.

Bagaimanapun, Leela berkata pihaknya akan membantah permohonan Khairy, yang juga Anggota Parlimen Rembau bagi meminda pernyataan pembelaannya.

Leela berkata mahkamah turut menetapkan 14 dan 21 Ogos depan untuk perbicaraan selepas tarikh sebelum ini pada 7 dan 8 Mei dilapangkan, manakala 28 Mei ditetapkan untuk pengurusan kes. 

Mahkamah Persekutuan pada 6 April lepas membenarkan rayuan Khairy bagi memasukkan dapatan Mahkamah Persekutuan dalam kes liwat pertama Anwar pada 2 September 2004.

Pada 7 Mac 2008, Anwar memfailkan saman terhadap Khairy bagi memohon ganti rugi RM100 juta dengan mendakwa Khairy yang ketika itu Naib Ketua Pemuda  UMNO, mengeluarkan kata-kata berbaur fitnah dan menyebabkan klip video bertajuk 'Anwar and kin no threat' disiarkan dalam laman web, termasuk  Malaysiakini.com.   

Anwar mendakwa klip video itu mengandungi sebahagian ucapan yang dikatakan berbaur fitnah diucapkan Khairy dalam satu 'ceramah' di Lembah Pantai di sini pada atau sekitar 20 Febuari 2008.

Khairy, dalam kenyataan pembelaan yang difailkan pada 8 Oktober 2010, berkata beliau bergantung kepada pembelaan berdasarkan justifikasi dan perlindungan bersyarat.

Pada 9 Oktober 2013, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Khairy untuk meminda kenyataan pembelaannya dalam kes saman itu.

Mahkamah Rayuan juga menolak rayuan Khairy terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 20 Ogos 2014 dan seterusnya pada 20 Oktober tahun yang sama, Khairy mendapat kebenaran daripada Mahkamah Persekutuan untuk memfailkan rayuan. - Bernama