Dedikasi khas buat Tuan Guru Abdul Hadi
- Butiran
- Diterbitkan: 11 Jun 2015
- Ditulis oleh Izwan Abdul Halim
KUALA SELANGOR :
Keputusan pemilihan bukanlah isyarat penolakan perwakilan kepada
kepimpinan lama yang telah tewas, tetapi merupakan dedikasi khas buat
Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, demikian menurut Ketua Pemuda PAS
Malaysia, Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz.
Katanya, muktamar kali ini telah membuktikan bahawa para perwakilan berdiri teguh bersama Presiden PAS itu dan Kepimpinan Ulama.
Akui beliau, sesama ahli PAS
terdapat pelbagai perbezaan, tetapi lebih banyak memiliki persamaan di
mana antara perkara yang disembunyikan Allah dengan hamba-Nya adalah
berkait keikhlasan.
“Ketika kita berpecah belah,
bermasalah, berselisih faham, jangan kacau soal ikhlas. Itu adalah
antara kita dan Allah. Allah SWT murka pada sesiapa yang menganggap
orang yang kita tidak suka itu tidak ikhlas berjuang. Jagalah keikhlasan
masing-masing kerana keikhlasan kepada Allah tidak dapat disentuh
walaupun oleh musuh.
“Kita berbeza bukan soal
ikhlas, tapi berbeza soal mutabaah fi Rasulullah SAW. Lepas kita ikhlas,
kita boleh berjalan menuju matlamat dan jalan yang kita pilih hendaklah
jalan yang satu. Iaitulah jalan yang mendekati jalan digariskan oleh
Rasulullah SAW. Jalan itu bukan jalan yang batin, jalan itu berada pada
zahir.
“Maka di situlah masing-masing
berusaha mendekati sunnah Nabi, siapa yang lebih tepat membawa bahtera
Islam kepada hala tuju yang digariskan Rasulullah. Sebab itulah orang
yang sebaik-baik mahu mendekatkan kita kepada sunnah Nabi SAW adalah
para ulama.
“Para ulama ditaklifkan
ditempat pertama untuk memikul amanah. Maka beri keyakinan pada saf baru
tanpa mengatakan perkara tidak baik kepada mereka yang tidak memenangi
pemilihan kali ini,” nasihatnya dalam ucapan penggulungan pada Muktamar
Tahunan PAS Kali Ke-61 di sini, 6 Jun lalu.
Beliau turut bertegas bahawa Dewan Pemuda PAS Malaysia akan mempertahankan Pakatan Rakyat dan terus berjuang dalam gabungan itu.
Ujarnya, pelbagai isu yang
berlaku dalam Pakatan Rakyat tidak dianggap oleh Pemuda PAS sebagai isu
kecil dan tidak juga isu besar.
“Kami Dewan Pemuda PAS
Malaysia menikmati perselisihan yang berlaku dalam Pakatan Rakyat.
Dengan perselisihan ini yang berlaku selepas kita berkawan baik, kita
boleh mengenal siapa kita dan kita boleh mengenal siapa rakan kita, PKR
dan DAP.
“Sambil kita kenal mengenal
itu, hendaklah kita susunkan ia dengan baik, maka itulah kita dapat
melaksanakan tugas kita. Kita mengenal isteri kita bukan semasa dia
senyum, tapi kita mengenal isteri kita masa dia menggunakan cakar dia ke
atas kita. Jadi begitulah kita dalam Pakatan Rakyat,” ujarnya
menyebabkan orang ramai di dalam stadium tertutup itu ketawa.
Katanya lagi, Dewan Pemuda PAS
Malaysia akan memberi fokus untuk menggerakkan anak muda melakukan
perubahan politik baru yang lebih baik di bumi Malaysia dan melahirkan
generasi pelapis daripada peringkat awal.
Pihaknya juga ujar beliau,
akan membantu mengukuhkan kekuatan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP)
melalui penubuhkan lajnah khas iaitu Lajnah DHPP Muda.
Nik Abduh turut menyatakan
komitmen Pemuda PAS untuk bergerak ke Pilihan Raya Negeri Sarawak dan
menjadi barisan hadapan untuk melahirkan ‘anak sulung’ PAS Sarawak.
Pada kesempatan ucapan itu,
beliau merakamkan penghargaan kepada Jabatan Amal Malaysia yang banyak
membantu dan memberi khidmat dalam gerak kerja parti.


0 orang berkata:
Post a Comment