• Mahfuz Omar Mahfuz Omar
1 / 1
SHAH ALAM – Saranan mengambil tindakan ke atas individu yang melempar fitnah terhadap kerajaan dan Perdana Menteri,‎ Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB) didakwa untuk menutup segala kelemahan kerajaan.
 
Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar berkata, soal fitnah hanya boleh ditentukan sekiranya kerajaan didapati ‘bersih’ dari segala dakwaan yang dikemukakan terhadap badan pelaburan, 1MDB.
 
“Dakwaan yang dikemukakan merupakan tuntutan terhadap kerajaan untuk menjawab segala kekeliruan.
 
“Bila individu yang mempersoal tindakan kerajaan berhubung 1MDB dan ia dianggap fitnah maka ia perlu diambil tindakan.
 
"...ia seolah-olah menunjukkan kerajaan ingin menutup kelemahan yang ada,” katanya ketika dihubungi Sinar Online.
 
Terdahulu, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam berkata, tindakan tegas undang-undang perlu diambil terhadap individu yang melemparkan fitnah terhadap kerajaan dan Perdana Menteri,‎ Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung isu 1MDB.
   
Beliau berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada mereka yang melakukan perkara itu dengan merujuk kepada blog Sarawak Report yang memperoleh maklumat itu daripada bekas eksekutif PetroSaudi International Ltd (PetroSaudi), Xavier Andre Justo.‎
 
Dalam pada itu, Mahfuz menambah, kerajaan perlu berdepan dengan rakyat bagi menjawab setiap persoalan yang diajukan berhubung segala transaksi badan pelaburan tersebut.
 
“Ini bukan soal fitnah. Ini soal cabaran. Berdepanlah dengan cabaran dan jawab dulu segala persoalan.
 
“Berdepan dulu, buat apa nak (mahu) ambil tindakan dulu. Kalau tidak betul baru boleh diambil tindakan, baru boleh dikira fitnah,” ujarnya lagi.