• Isu 1MDB: Bekas pekerja PetroSaudi ditahan polis Justo ditahan polis Thailand di kediamannya pada Isnin.
1 / 1
SHAH ALAM - Seorang bekas pekerja PetroSaudi International yang didakwa banyak membocorkan maklumat berkaitan urus niaga syarikat antarabangsa berpangkalan di Arab Saudi itu dengan 1Malaysia Development Berhad (1MBD) ditahan di Thailand, pada Isnin.

Bekas eksekutif teknologi maklumat itu ditahan di kediamannya di sana kerana cubaan memeras ugut bekas majikannya.

"Kita percaya Xavier Justo kini akan dibawa ke muka pengadilan. Kita telah menjadi mangsa jenayah yang malangnya ia telah dipolitikkan di Malaysia.

"Kita gembira akhirnya dapat memperbetulkan salah faham itu dan kita memohon maaf kepada rakyat Malaysia kerana perkara ini yang dilakukan oleh bekas pekerja yang tidak bertanggungjawab sehingga memberikan kesan tidak baik," kata seorang jurucakap PetroSaudi dalam satu kenyataan, semalam.

Polis Diraja Thailand Bahagian Pencegahan Jenayah dilaporkan telah membuat rampasan beberapa komputer, pemacu keras dan bukti-bukti lain dari kediaman Justo selepas mendapat waran geledah daripada pihak mahkamah.

Sementara itu, PetroSaudi berkata, syarikat itu sedang meneliti tindakan undang-undang selanjutnya dalam pendakwaan berhubung tindakan Jusco.

PetroSaudi terkenal di Malaysia berikutan kerjasama yang pernah dijalin dengan syarikat dana pelaburan strategik, 1MDB.

Dua tahun selepas dipecat daripada syarikat, Justo yang merupakan warga Switzerland dikatakan cuba memeras ugut PetroSaudi sehingga 2.5 juta Swiss Francs (RM10 juta).

Dia mengancam akan mendedahkan maklumat sulit perniagaan yang didakwa dicurinya daripada syarikat itu jika permintaannya tidak dipenuhi.

Berikutan cubaan peras ugut itu, beberapa emel dan dokumen disiarkan oleh Sarawak Report, sebuah blog bermotifkan politik, hingga mencetuskan pelbagai tuduhan terhadap 1MDB.

Difahamkan, sebahagian daripada emel dan dokumen yang disiarkan dalam blog itu sudah ditokok-tambah, sekali gus menimbulkan keraguan terhadap kesahihan tuduhan berkenaan.