• Iskandar Abdul Samad Iskandar
1 / 1
SHAH ALAM - Pas Selangor hari ini menyatakan sokongan penuh kepada Mohamed Azmin Ali sebagai Menteri Besar Selangor dan komited untuk terus menjalinkan kerjasama akrab dengan rakan parti komponen PR.

Pesuruhjaya Pas, Datuk Iskandar Abdul Samad berkata, kerajaan negeri pimpinan Mohamed Azmin harus dipertahankan bagi memastikan segala agenda pembangunan dan kebajikan negeri dapat diteruskan.

"Hari ini Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan menyatakan harapan agar kerajaan PR Selangor terus dipertahankan kerana ia adalah kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

"Sehubungan itu, ingin saya tegaskan di sini bahawa kami Exco-exco Pas Selangor dan Adun Pas Selangor menyokong penuh Mohamed Azmin sebagai Menteri Besar Selangor," katanya dalam kenyataan di sini.

Iskandar yang juga Naib Presiden Pas berkata, kerjasama akrab Pas Selangor dengan rakan-rakan komponen PR akan diteruskan bagi memastikan amanah yang diberikan rakyat, tidak dikhianati dan tanggungjawab terhadap mereka dapat ditunaikan.

Kenyataan Iskandar itu dibuat susulan kenyataan Abdul Hadi hari ini yang mengarahkan semua Adun Pas di Selangor memberi sokongan kepada Mohamed Azmin demi mempertahankan kerajaan negeri.

"Ingin saya tegaskan bahawa kerjasama Pas dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat.

"Sehubungan itu juga, Pas Pusat telahpun memberi arahan kepada Iskandar selaku Pesuruhjaya Pas Selangor yang juga anggota exco untuk arahkan seluruh Adun  Pas Selangor supaya terus bersama dengan Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi meneruskan khidmat kepada rakyat, seterusnya mengekalkan  kedudukan kerajaan yang memerintah Selangor pada waktu ini," kata Abdul Hadi.

Hubungan Pas dengan rakan komponennya dalam PR iaitu DAP ibarat 'retak menanti belah' ekoran tindakan DAP mengisytiharkan PR tidak lagi wujud selepas mendakwa keputusan yang dibuat Muktamar Pas sebelum ini untuk memutuskan hubungan dengan DAP, telah 'membunuh' pakatan itu. - Bernama