PAS kini berada di landasan yang betul
- Butiran
- Diterbitkan: 09 Jun 2015
- Ditulis oleh Dr Mohd Zuhdi Marzuki
Selepas
Muktamar ke 61 yang berlansung di Kuala Selangor, Selangor, minggu
lepas, PAS kini berada di landasan yang betul dalam usaha untuk
membangunkan semula peradaban Islam di Malaysia. Saf kepimpinan PAS yang
baru merupakan mereka yang begitu iltizam untuk membawa negara dan
masyarakat Malaysia bernaung di bawah keadilan sistem kehidupan Islam.
Demi mencapai tujuan ini, PAS akan mengimbangkan tiga aspek utama iaitu
tarbiyah, dakwah dan siasah.
Dalam konteks ini, Presiden PAS menjadi
orang terpenting mengemudi PAS kembali ke landasan sebenar, yang
kemudian disambut secara besar-besaran oleh perwakilan muktamar.
Terdapat empat petunjuk penting yang memperlihatkan PAS berada di
landasan yang betul:
1. PAS kini semakin mendapat kembali
kepercayaan pengundi-pengundi Melayu khususnya di kalangan generasi
muda, sebagaimana yang dipaparkan dalam Pilihanraya Kecil Rompin
baru-baru ini. Segmen pengundi Melayu adalah segmen terpenting untuk
dikuasai oleh mana-mana parti atau gabungan kerana mereka adalah teras
politik Malaysia, malah faktor kestabilan politik Malaysia terpenting.
2. PAS semakin membina kekuatan sendiri
untuk menembusi dua lagi segmen pengundi, iaitu segmen pengundi bukan
Melayu dan segmen pengundi bumiputera bukan Islam Sabah dan Sarawak.
Peranan yang dimainkan oleh Dewan Himpunan PAS (DHPP) menjadi semakin
penting, di samping PAS mula meneroka hubungan persefahaman dengan kaum
peribumi Sabah dan Sarawak. Tidak mustahil PAS akan mula meletakkan
calon di kerusi-kerusi majoriti bukan Melayu yang menjadi kerusi tradisi
DAP hari ini.
3. PAS semakin bersedia untuk menghadapi
senario politik Malaysia yang sedang menuju kepada sistem pelbagai
parti (multi parties system) seperti yang sedang berlaku di kebanyakan
negara-negara membangun. Diyakini dalam beberapa tahun mendatang tiada
parti atau gabungan yang boleh membentuk kerajaan yang stabil tanpa
sokongan parti atau gabungan yang lain. Dalam konteks Malaysia, situasi
ini menjadi lebih rencam disebabkan ada dua lapis kerajaan, iaitu
kerajaan negeri dan kerajaan persukutuan. Oleh sebab itu, PAS seharusnya
menjadi parti yang bersikap terbuka kepada semua pihak sesuai dengan
'Islam sebagai rahmat kepada semua'.
4. PAS semakin menguasai teknologi
terkini terutama teknologi media dan teknologi maklumat yang merupakan
faktor dominasi politik masa kini. Saf kepimpinan baru PAS didukung oleh
golongan profesional yang mempunyai kepelbagaian latar belakang dalam
bidang Sains dan Teknologi, bukan hanya mereka yang berlatar belakangkan
profesion perundangan.
Menyedari hakikat tersebut, seluruh ahli
PAS diseru untuk merapatkan ukhuwah dan memperkukuhkan iltizam untuk
bersama saf kepimpinan baru yang akan memberi fokus kepada gerak kerja
sehingga ke akar umbi masyarakat, bukan sekadar menumpukan kepada isu.
PAS akan menjadi sebuah gerakan Islam yang lebih terbuka untuk
bekerjasama dengan sesiapa sahaja demi mencapai matlamat perjuangan
Islam dan maslahah rakyat. Pendek kata, para pendukung PAS perlu bersiap
sedia untuk bersama saf kepimpinan baru untuk menjadikan PAS sebagai
pencatur utama (king Maker) kepada politik Malaysia.
Dr Mohd Zuhdi Marzuki
9 Jun 2015 Masehi
22 Syaban 1436 Hijrah
22 Syaban 1436 Hijrah


0 orang berkata:
Post a Comment