• Datuk Mahfuz OmarKetua Penerangan Pas Pusat Datuk Mahfuz Omar menyampaikan usulnya mengenai masa depan Pakatan Rakyat pada persidangan hari terakhir Muktamar Tahunan PAS ke-61 di Stadium Tertutup Kuala Selangor hari ini. - Foto Bernama
 1 / 1 
KUALA SELANGOR - Muktamar Pas kali-61 menggesa semua ahli Pas di semua peringkat memberikan sokongan penuh kepada perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) (1993) pindaan 2015 Kelantan (Hudud).

Pengerusi usul, Datuk Mahfuz Omar berkata, sokongan itu meliputi penerangan dan kerjasama secara dakwah dan siasah kepada parti.

"Dokongan itu diterajui oleh para peguam syarie dan sivil serta para ilmuan Islam menerusi penerangan, ceramah kelompok, pameran, diskusi dengan wanita seluruh Kelantan termasuk dialog dengan wanita bukan Islam," katanya.

Usul hudud itu sebelum ini telah dibawa oleh Pemuda dan Muslimat dan diterima sebulat suara tanpa bahas.

Keputusan membawa rang undang-undang persendirian ke Parlimen untuk meminda Akta 355 adalah langkah terbaik dan mapan kerana bersifat meningkatkan kuasa mahkamah syariah.

Hasil kaji selidik yang dijalankan Pusat Strategik Negeri Kelantan menunjukkan bahawa rakyat Kelantan bersedia menerima perlaksanaan hudud.

Pas menyifatkan tempoh 22 tahun sudah mencukupi untuk mendidik rakyat pelbagai peringkat bagi memahami falsafah dan konsep hukum Allah SWT sejak ia diperkenal pada tahun 1993.

Hukum hudud dilihat sebagai pelengkap pakej Islam sebagai agama yang syumul dalam pentadbiran Dasar Membangun Bersama Islam berteraskan paksi Ubudiyyah, Masuliyyah dan Itqan.