Usaha cari enam pendaki diteruskan hari ini
Helikopter jenis EC725 TUDM dan Mi17 Bomba membawa pasukan penyelamat ke Laban Rata, Gunung Kinabalu bagi mencari enam pendaki yang masih hilang.
SHAH ALAM – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) mangsa gempa bumi di Gunung Kinabalu diteruskan pagi ini dengan kekuatan 15 anggota penyelamat termasuk pasukan Smart dan Renjer Sabah ke Laban Rata menggunakan helikopter.
Menurut jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sabah, usaha tersebut digerakkan bagi mencari enam mangsa lagi pendaki yang dilaporkan masih hilang ketika kejadian itu, kelmarin.
Katanya juga, pihaknya turut memindahkan pos kawalan bomba ke Kundasang sebagai langkah keselamatan.
“Pasukan penyelamat akan dihantar ke Laban Rata dari sini menggunakan helikopter kerana ia lebih menyenangkan.
“Pihak bomba juga memindahkan pos kawalan ke sini sebagai langkah keselamatan kerana gegaran kerap berlaku ketika kami berada di pintu masuk Timpohon,” katanya.
Hari kedua usaha menyelamat itu bagaimanapun berakhir dengan berita menyedihkan apabila jumlah korban meningkat kepada 13 mangsa manakala enam lagi masih hilang.
Semalam, dua mayat ditemukan iaitu malim gunung, Robi Sapinggi, 30, dari Kampung Kiau, Kota Belud dan seorang murid dari Tanjong Katong Primary School, Singapura, Wee Ying Ping Peony, 12.


0 orang berkata:
Post a Comment