KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Tun Razak melakukan rombakan kabinet termasuk pengguguran Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri hanya selepas mendapat sokongan daripada 154 Ketua Umno Bahagian, pada Ahad lalu.

Demikian kata Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Abdul Aziz Kaprawi yang mendedahkan perkara tersebut, sambil menegaskan Presiden Umno itu tidak membuat keputusan tersebut secara bersendirian.

"Sebelum Datuk Seri Najib gugurkan Muhyiddin, semua ketua Umno bahagian berhubung dalam media sosial Telegram bagaimana hendak atasi kenyataan Muhyiddin itu di Cheras.

"Akhirnya selepas tujuh jam berbincang, seluruh ketua Umno bahagian (154 orang) berpakat dan berpandangan beri mandat kepada Presiden untuk rombak kabinet," katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Lembah Pantai ke-21 di sini, hari ini.

Rombakan kabinet kali ini menyaksikan seramai enam menteri dan sembilan timbalan menteri baharu dilantik, manakala jawatan Timbalan Perdana Menteri yang dikosongkan Muhyiddin digantikan oleh Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Antara menteri baharu itu ialah Datuk Wilfred Madius Tangau, Datuk Hamzah Zainudin, Datuk Dr. Wan Junaidi Tuanku JaafaR, Datuk Seri Mahdzir Khalid, Datuk Sri Azalina Othman Said, Datuk Seri Ong Ka Chuan; dan Datuk Seri Dr. Mohd. Salleh Tun Said Keruak.

Manakala timbalan menteri baharu itu ialah Datuk Mohd Johari Baharum, Datuk Mas Ermieyati Samsudin, Datuk Nur Jazlan Mohamed; Datuk Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, Senator Tuan Chong Sin Woon; Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican; Datuk Ahmad Jazlan Yaakob, Masir anak Kujat dan Johari Abdul Ghani.