KOTA BHARU - Pas Kelantan berharap pelantikan Kabinet baharu memberi ruang perbincangan luas kepada pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II 1993 (Pindaan 2015).
Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Kelantan, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata,  memandangkan pelantikan tersebut masih baru, biarlah soal Kabinet diselesaikan terlebih dahulu sebelum membincangkan harapan rakyat Kelantan itu.
“Kita kena tengok dulu macam mana, kita bagi masa Kabinet baharu ini selesai dulu. Tapi harapan kita dengan pelantikan Senator Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki itu akan boleh membuka ruang yang lebih kepada perbincangan kita melaksanakan hudud.
“Sebab beliau (Asyraf) ada menyebut yang mana usaha untuk melaksanakan hudud ini boleh jadi kenyataan. Saya harap kenyataan itu dapat dipertahankan beliau,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.
Beliau diminta mengulas mengenai harapan Kelantan untuk melaksanakan hudud selepas rombakan Kabinet berlaku.
Terdahulu, Dr Asyraf dilaporkan pernah membuat kenyataan bahawa mungkin kerajaan Pas Kelantan boleh menjadi model negeri pertama melaksanakan hudud di Malaysia.
Ini disokong oleh alasan yang mengatakan kepakaran yang ada pada barisan ulama Pas mampu menjalankan undang-undang tersebut dengan jayanya, apatah lagi selepas lebih 20 tahun enakmen tersebut diluluskan di Dun Kelantan.
AKAN MENYUSUL.