Gesa jelas terlibat Parti Pekerja atau tidak
Mohd Hushaimi
TUMPAT - Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaafar diminta tampil
membuat penjelasan sama ada terlibat dengan Parti Pekerja Malaysia atau
masih setia dengan Pas.
Desakan itu dibuat Pemuda Pas Kawasan Tumpat berikutan sikap beliau yang berdiam diri sehingga mencetuskan tanda tanya di semua peringkat kepimpinan Pas dan rakyat.
Pemangku ketuanya, Mohd Hushaimi Hussian berkata, penjelasan daripada Ahli Parlimen Tumpat itu perlu kerana namanya dikaitkan menyertai Parti Pekerja Malaysia seperti dilaporkan sebuah akhbar tempatan bertarikh 8 September 2015.
“Saya sendiri pun telah bertanya padanya tentang kesahihan perkara tersebut namun beliau membisu, tiada jawapan darinya.
“Tindakan beliau membisu dengan seribu bahasa tanpa sebarang penegasan bakal mencetuskan andaian yang tidak berkesudahan, khususnya buat pengundi beliau dalam kawasan Tumpat,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
Jika Kamaruddin memilih Parti Pekerja Malaysia sebagai parti perjuangannya, Mohd Hushaimi melahirkan rasa kesal dan ini satu pengkhianatan kepada amanah dan kepercayaan diberikan parti dan rakyat.
“Beliau telah dipilih oleh rakyat Tumpat dalam pilihan raya lalu adalah kerana beliau bertanding di atas tiket dan lambang Pas.
“Jika benar beliau ingin menyertai Parti Pekerja Malaysia, beliau perlu melepaskan jawatan ahli parlimen demi mengelak daripada makan gaji serta elaun wakil rakyat secara haram,” katanya.
Mohd Hushaimi turut mengingatkan soal baiah yang dilafazkan oleh Kamarudin untuk taat setia dan tidak akan melompat parti.
Sehubungan itu, katanya, pilihan untuk terus beristiqamah dengan Pas dengan memperjuangkan cita-cita dan aspirasi adalah jalan yang paling tepat.
“Kamaruddin sendiri telah berbaiah untuk taat setia dan tidak akan melompat parti selama mana ia tidak bertentangan dengan Islam, perlu ditegaskan baiah beliau adalah perjanjian dengan ALLAH, tepuk dada tanyalah iman,” katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment