PR 2.0 : ‘Kita bincanglah’, kata Azmin

Azmin Ali
PETALING JAYA - Semua parti pembangkang bakal diajak berbincang dalam misi membentuk gabungan baharu, PR 2.0 kata Timbalan Presiden PKR, Mohamed Azmin Ali.
Menurutnya, parti itu sedia menerima mana-mana parti yang komited dengan perubahan.
"Tak apa lah, PKR telah menjadi parti yang sangat inklusif dari dulu lagi. Kita terbuka kepada semua parti, semua individu yang mahu perubahan, yang komited untuk 'reform agenda'.
"Mesti bincang. Kita kena bincang sebab itu Presiden PKR (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) kata dalam kenyataan sebelum ini, setelah dia bertemu dengan Amanah, dia akan bertemu dengan Pas dan DAP. Kita kena teruskan perbincangan. Ini adalah proses," katanya kepada pemberita setelah sidang media di ibu pejabat PKR, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas soal keengganan DAP dan Pas berdamai untuk membentuk PR 2.0.
Mengulas lanjut, Azmin yang juga Menteri Besar Selangor berkata, kerja menguruskan sesuatu gabungan politik itu bukan mudah.
"Tapi anda mesti ada keberanian dan keyakinan. Kita kena bincang. Dalam keadaan sekarang ini kita sedang berdepan dengan krisis besar di mana kita mesti ketepikan perbezaan, maju ke depan, selamatkan negara dan ekonomi.
"Kita mesti duduk berbincang dan bertindak berdasarkan konsensus. Itu kekuatan PR sejak berbelas tahun lagi. Daripada Barisan Alternatif sampailah sekarang. Ada perbezaan tapi kami mampu menguruskannya melalui konsensus. Kita perlu teruskan proses itu.
"Lama lagi pilihanraya. Malah presiden dah jumpa Amanah, dah jumpa pimpinan yang masuk PKR. Pas dan DAP, Presiden akan atur pertemuan," katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment