Anak muda sekarang kurang tahu sejarah

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. - Foto Bernama
DILAHIRKAN dalam sebuah negara yang telah merdeka dan maju membuatkan generasi hari ini kurang mengetahui serta kurang menyelami erti sebenar sebuah kemerdekaan.
Malah mereka mungkin juga tidak dapat merasai kesusahan dilalui generasi dahulu yang bermandi peluh dan darah demi memerdekakan negara ini.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, rakyat negara iini perlu mengingati perjuangan pemimpin-pemimpin negara yang terdahulu dalam memastikan negara mencapai kemerdekaan.
"Saya berpendapat rakyat sekarang, generasi muda kurang mengetahui berkenaan dengan sejarah. Mereka tiba-tiba dilahirkan dalam negara yang sudah pun maju.
"Mereka fikir negara ini memang sudah maju sejak dulu. Kita harus ingat tentang perjuangan Tunku (Abdul Rahman), Tun Abdul Razak...mereka berjuang dengan semangat yang mendorong mereka bekerja untuk negara.
"Semangat seperti ini sudah berkurang kerana biasalah…apabila dilahirkan dalam keadaan senang, kita tidak faham yang susah," katanya pada sidang media selepas Tayangan Perdana Filem Kapsul.
Kapsul merupakan filem cereka yang diilhamkan daripada kapsul masa Wawasan 2020 yang ditanam Tun Mahathir suatu ketika dahulu di mana isi kandungannya masih menjadi rahsia sehingga 1 Januari 2020 kelak.
Ia mengisahkan perjalanan Zohri Ibrahim lakonan Faizal Hussien yang secara tidak sengaja dibawa mengembara ke zaman silam di mana dia dapat menyelami sendiri perubahan zaman daripada sebelum merdeka lagi.
Menurut Tun Mahathir, negara kita memerlukan lebih banyak filem yang mengetengahkan perjuangan orang zaman dulu demi sebuah kemerdekaan.
"Ada pengajaran yang boleh didapati daripada filem ini kerana ia menceritakan tentang perjuangan orang Melayu dahulu dan daripada satu zaman ke zaman yang lain, kita melihat perubahan yang berlaku serta penekanan dalam lakonan terhadap masa depan anak cucu mereka.
"Saya tidak tahu sejauh mana (filem ini mampu memberi kesedaran kepada generasi muda) tapi ada kesannya. Kita perlu membuat lebih banyak filem yang memberi semangat terhadap masa depan anak-anak mereka," katanya.
Tambahnya,"walaupun mereka sudah senang lenang di zaman ini, belum tentu anak mereka hidup sempurna seperti yang dijangka oleh mereka (pada masa depan)."
Sementara itu, pelakon utama Kapsul, Faizal Hussien akui tidak pernah terfikir akan dapat berlakon dengan bekas pemimpin negara itu.
"Memang sangat-sangat bersyukur dengan peluang ini. Perasaan saya bercampur baur dan rasa bersyukur sangat," katanya.
Kapsul bakal mula ditayangkan 17 September ini di semua pawagam seluruh Malaysia
.


0 orang berkata:
Post a Comment