KOTA BHARU – Himpunan Fastaqim atau 60 Ribu (H60K) adalah himpunan yang terbuka kepada semua pihak, sekalipun temanya hijau, kata Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari.

Menurutnya, semua ‘warna’ boleh menyertainya dan mana-mana pihak, tidak mengira parti diberikan pilihan secara terbuka sama ada ingin menyertainya atau tidak tanpa sebarang masalah.
Beliau berkata, Pas bukanlah parti yang sibuk melabel pihak-pihak yang tidak bersamanya sebagai bersama dengan BN.

“Pemuda Pas Kelantan melihat isu jemputan ke Himpunan Fastaqim bukanlah sebagai satu perkara yang seharusnya memandangkan ia adalah satu manifestasi daripada kebersamaan seluruh lapisan masyarakat untuk bersama Pas memperjuangkan isu-isu rakyat di pentas politik tanah air,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Fadhli yang juga Ketua Penerangan Pemuda Pas Pusat berkata, objektif penganjurannya sangat jelas kerana sejak kebelakangan ini pelbagai isu tanah air khususnya kejatuhan nilai mata wang ringgit dan kelemahan pengurusan menjadikan rakyat sudah hilang kepercayaan kepada pimpinan sedia ada untuk mentadbir negara.

Sebelum ini, Pas memberitahu pihaknya akan menjemput semua parti politik pembangkang dan kerajaan serta NGO menyertai himpunan itu.

Pengarah H60K, Nik Muhammad Abduh Nik Abdul Aziz berkata, matlamat dan objektif himpunan itu berkait rapat dengan krisis yang melanda politik negara ketika ini selain bagi membangkitkan semangat akar umbi parti.