SHAH ALAM - Agihan kerusi akan menjadi masalah utama jika Pas bergabung dengan pakatan pembangkang yang baharu.

Menurut Timbalan Presiden Pas, Tuan Ibrahim Tuan Man, sebelum ini apabila Pas bergabung dengan PKR, sebahagian besar kerusi Pas akan diserahkan kepada PKR bersama jentera dan petugas parti.

"Kalau Pas bergabung pula dengan Pakatan Harapan bermakna Pas akan sekali lagi serah kerusi kepada parti baru, dan ini tidak mungkin berlaku.

"Melainkan DAP atau PKR  sanggup bahagikan kerusi mereka kepada Parti Amanah Negara (Amanah)," kata Tuan Ibrahim dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, tak mungkin Pas juga boleh terima Parti Amanah yang kini sedang menarik ahli Pas dan merampas bangunan PASTI dan markas Pas.

"Pas tidak akan bergabung dengan Pakatan Harapan kerana tindakan DAP sebelum ini terhadap Pas," katanya lagi.

[ARTIKEL BERKAITAN: Pas harap PKR faham kenapa tidak sertai]

Selain itu, beliau memberitahu Pas akan tetap meletakkan calon di semua kerusi yang ditandinginya kerana itu adalah hak parti.

"Kalau komponen parti pembangkang lain khasnya Amanah juga meletakkan calonnya bermakna ia menjadi penyambung tali hayat kepada Umno atau BN.

"Mungkin ada yang akan mendakwa kalau calon Pas tak akan menang, kerana pengundi Cina tak akan beri undi, maka apakah kalau Parti Amanah akan menang kalau pengundi Melayu tak akan memberi undi khususnya ahli dan penyokong Pas?" kata Tuan Ibrahim.

Pas sebelum ini mengharapkan PKR memahami pendirian parti itu yang tidak mahu menyertai Pakatan Harapan terdiri daripada PKR, DAP dan Amanah.