KUALA LUMPUR - Bank Negara Malaysia (BNM) disaran menggunakan semua kuasa yang ada mengikut undang-undang untuk menyekat syarikat pembangunan strategik milik kerajaan, 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli berkata, salah satu cara paling berkesan adalah melumpuhkan operasi kewangan dan urusniaga pemindahan dana oleh 1MDB yang dikawalselia oleh BNM.

"Jika Kamar Peguam Negara enggan menggunakan kuasanya di bawah Perlembagaan untuk mendakwa 1MDB seperti yang disyorkan oleh kertas siasatan BNM, maka BNM sewajarnya menggunakan kuasanya yang lain untuk memastikan masalah 1MDB (tidak) terus berlanjutan hingga membawa kesan kepada ekonomi negara.

"Apabila 1MDB dikekang dari terus membuat pinjaman atau memindahkan dana, saya pasti Datuk Seri Najib Tun Razak (Perdana Menteri) tidak ada pilihan lain kecuali menutup 1MDB dan menyelesaikan masalah kewangannya secara muktamad," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, BNM membatalkan tiga kebenaran yang diberikan kepada 1MDB di bawah Akta Kawalan Pertukaran Asing 1953 (ECA) bagi pelaburan luar negara sebanyak AS$1.83 bilion (RM7.53 bilion) dan meminta ia menghantar pulang jumlah tersebut ke Malaysia serta menyerahkan pelan kepada bank pusat bagi tujuan ini.

Menurut Rafizi, isu tersebut telah lama ditimbulkan terutamanya dari aspek pengubahan wang haram.

"Saya faham sepenuhnya bahawa kuasa pendakwaan di bawah Perlembagaan adalah kuasa Peguam Negara. Oleh yang demikian, besar kemungkinan apa-apa siasatan di bawah bidang kuasa BNM termasuklah mengenai pengubahan wang haram tidak berkesudahan dengan pendakwaan 1MDB ke mahkamah walaupun disyorkan oleh BNM.

"Oleh itu, saya mencadangkan supaya Bank Negara Malaysia menggunakan kesemua kuasa yang ada untuk menyelesaikan masalah kewangan 1MDB," katanya.

Antara cadangan beliau adalah BNM wajar membatalkan semua lesen kewangan yang diberikan kepada 1MDB sebelum ini di bawah bidang kuasanya yang diperlukan oleh 1MDB untuk beroperasi sebagai sebuah syarikat yang terbabit dengan instrumen kewangan, jika ada.

Katanya, BNM juga wajar membatalkan semua permit atau kelulusan pemindahan wang yang pernah diberikan selama ini dan menolak sebarang permohonan permit atau kelulusan pemindahan wang yang baru supaya dananya tidak lagi boleh dipindahkan sesuka hati.

 Tambahnya, "BNM wajar menolak sebarang permohonan lesen atau permit baru bersabit dengan sebarang urusan kewangan yang baru di bawah bidang kuasanya untuk memastikan 1MDB tidak boleh membuat perjanjian atau urusan kewangan yang baru."