Shafie: 'Ini satu peringatan kepada kerajaan'
Mantan
Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad bersama bekas Menteri Kemajuan
Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan bekas Timbalan
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas sidang media di
Putrajaya, hari ini. - Foto Sinar Harian oleh ROSLI TALIB
PUTRAJAYA - Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal, menegaskan
bahawa sidang media bersama itu sebagai peringatan kepada kerajaan agar
menggunakan undang -undang secara adil.
Beliau berkata, penangkapan Matthias Chang selaku peguam kepada Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan Langkah-Langkah Khas (Sosma 2012) adalah mencabuli prinsip perundangan tersebut.
"Peguam yang ikut (membela) Khairuddin turut ditahan bawah akta yang sama. Ini salah guna undang-undang yang ada, dalam undang-undang ada kebebasan untuk melindungi seseorang.
"Saya berpendirian jangan wujudkan ketakutan kepada rakyat. Sidang media ini sebagai peringatan atau tekanan kepada kerajaan agar jangan gunakan undang-undang tanpa berlandaskan keadilan," katanya.
Shafie yang digugurkan daripada Kabinet berkata, beliau turut terlibat dalam pembentukan Sosma dan jelas bahawa undang-undang itu digubal bagi tujuan mengekang aktiviti pengganas dan bukannya menyekat usaha ahli politik untuk mencari kebenaran.
[ARTIKEL BERKAITAN: Salah guna kuasa tahan Khairuddin, Matthias]
[ARTIKEL BERKAITAN: Kalau singkir saya, saya lagi popular dari Siti]
Selain Shafie, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga digugurkan sebagai Timbalan Perdana Menteri turut muncul dalam sidang media bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di Yayasan Kepimpinan Perdana, hari ini.
Turut sama, veteren Umno yang juga Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah, bekas Menteri Besar Kedah, Tan Seri Sanusi Junid dan bekas presiden MCA, Datuk Seri Ong Tee Keat.
Khairuddin dan Matthias didakwa di bawah Sosma sebaik beliau membuat laporan polis di luar negara berkaitan isu 1Malaysia Development Berhad.
Menurut Shafie, isu 1MDB bukan sahaja dilihat oleh rakyat di negara ini tetapi turut menggugat keyakinan masyarakat luar sehingga menjejas ekonomi negara.
"Kita suarakan agar jangan salah guna kuasa sesuka hati. Kami prihatin terhadap masalah ekonomi, pelaburan negara ketika ini.
"Sebagai bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah saya tahu isu ini sangat penting (diselesaikan). Tidak kesahlah sama ada kami masih dalam Kabinet atau tidak, apa yang penting hal ini perlu disuarakan," katanya.


0 orang berkata:
Post a Comment