SHAH ALAM – “Pas Selangor tidak akan menarik diri daripada kerajaan Selangor,” demikian pendirian Timbalan Pesuruhjaya 2 Pas Selangor, Shafie Ngah yang dinyatakan kepada Sinar Harian semalam


Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas berhubung kenyataan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali yang menyerahkan kepada Pas untuk menentukan pendirian sama ada mahu keluar atau kekal dalam pakatan kerajaan Selangor.

Beliau yang juga Adun Bangi berkata, Pas tidak boleh menarik diri memandangkan wakil rakyat Pas mempunyai tanggungjawab besar melaksanakan mandat rakyat.

“Kami dipilih rakyat pada pilihan raya lalu sehingga kami berjaya membentuk sebuah kerajaan yang baik dalam Pakatan Rakyat (PR) sekali gus memberi kebajikan kepada semua rakyat.

“Pas Selangor percaya mana-mana parti di negeri ini tidak boleh mentadbir secara bersendirian kecuali menerusi kerjasama antara satu sama lain,” katanya.

Mengulas kenyataan Ketua Dewan Ulama, Datuk Dr Mahfodz Mohamed yang bersedia untuk mempertimbangkan keputusan keluar dari pakatan kerajaan Selangor, Shafei berkata, keputusan perlu dibuat secara kolektif dan pandangan Pas Selangor biasanya turut diambil kira.

“Buat masa ini Dewan belum buat sebarang keputusan, jadi saya tak boleh nak ulas lebih lanjut perkara itu,” katanya.

Dalam pada itu, Setiausaha Pas Selangor, Mohd Khairuddin Othman turut menegaskan yang Pas Selangor tidak akan goyah dengan Pakatan Harapan.

Menurutnya, PR masih terpakai di Selangor sepertimana yang dinyatakan Menteri Besar, Mohamed Azmin Ali sebelum ini.

“Kami terima baik pandangan beliau (Mohamed Azmin) yang mengatakan hanya PR terpakai di Selangor, bukannya Pakatan Harapan.

“Justeru itu, Pas Selangor akan terus menjalankan tugas seperti biasa termasuk berbincang dengan rakan PKR dan DAP dalam urusan hal ehwal kerajaan di negeri ini,” katanya
.