PERMATANG PAUH - Pas Kawasan Permatang Pauh hari ini
mengumumkan keputusan memutus hubungan dengan Adun
Permatang Pasir, Datuk Mohd Salleh Man.

Yang Dipertuanya, Omar Hassan berkata Pas kawasan itu membuat
 keputusan tersebut pada mesyuaratnya pada Isnin lepas.

"Keputusan ini dibuat berikutan kenyataan Salleh Man dengan jelas
 menyatakan sokongan terhadap kerajaan Pakatan Harapan yang
 diterajui oleh DAP dan bertentangan dengan pendirian Pas pusat,"
katanya kepada pemberita di Dewan Yusof ar-Rawa di sini hari ini.

Katanya, pendirian Pas pusat tidak mengiktiraf kerajaan Pakatan
 Harapan Pulau Pinang.

Dalam kenyataan pada 2 November, Salleh Man mengumumkan
pendirian menyokong kerajaan Pakatan Harapan Pulau Pinang
yang dipimpin Ketua Menteri, Lim Guan Eng.

Omar yang juga timbalan Yang Dipertua 2 Pas Pulau Pinang berkata,
 keputusan itu yang mendapat persetujuan Pas negeri, akan
 dimaklumkan kepada Pas pusat. - Bernama