KOTA BHARU – Pas akui parti itu menggunakan pendekatan berbeza

 ketika berdepan dengan Umno, berbeza dengan amalan yang 
dipraktikkan sebelum ini.

Naib Presiden Pas, Idris Ahmad berkata, walaupun terdapat pimpinan 
Pas mengadakan pertemuan dengan Umno, ia bukan bermaksud Pas
 akan menjalinkan hubungan politik dengan parti itu.

“Takkan lah kita jumpa orang Umno kita tidak boleh bercakap, nak 
macam itu ke, takkan kita nak balik kaedah lama balik, kalu jumpa 
orang Umno, nak tindih bayang pun tidak boleh,”

“Pas ini ada dasar, kita ada Majlis Syura, kita ada AJK Pas pusat,
Lajnah politik, jangan tuan-tuan runsing, tengok kepimpinan Pas minum
 kopi dengan orang Umno, terus kata nak masuk Umno,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa ceramah Sambutan 60 tahun Pas
 Kelantan yang diadakan di Dataran Ilmu, di sini malam tadi.

Isu kerjasama Pas-Umno kini kembali hangat diperkatakan apabila bekas
 Naib Presiden Pas, Datuk Husam Musa mendedahkan pimpinan parti itu
 mahu mewujudkan kerajaan perpaduan selepas pilihan raya umum ke 12
 (PRU-12).

Dakwa Husam, tindakan itu gagal setelah kerusi yang diperoleh tidak
 cukup untuk mewujudkan sebuah kerajaan.
Dalam ceramah tersebut, Idris turut mengesahkan tiada perbincangan 
khususnya agenda untuk bergabung dengan Umno dalam mesyuarat 
Majlis Syura minggu lalu.

“Sebab itu tuan puan, setakat hari ini, jangan runsinglah, mesyuarat
 terakhir minggu lepas majlis syura, jawatankuasa Pas pusat tak 
pernah bincang pun nak masuk Umno ini, tidak ada, malah kita tegaskan
 lagi sekali, kita dengan Umno ini tak ada apa,”katanya.

Idris berkata, mereka yang menyertai Pas bukan kerana ikutan
 mana-mana individu sebaliknya kerana dasar parti itu yang mahukan
 Islam dimartabatkan.

“Kalau ada pemimpin Pas yang dekat dengan Umno, dia seorang sahaja
 dekat dengan Umno. Sebab itu tuan-tuan jangan bimbang tidak ada orang
 pas yang nak masuk Umno ni,”katanya
.