KOTA BHARU - Pas Kelantan menyerahkan kepada Jawatankuasa Pas Pusat 
tentukan sebarang tindakan terhadap Bekas Naib Presiden parti itu, Datuk
 Husam Musa yang lantang mengkritik parti kebelakangan ini.

Timbalan Pesuruhjaya 1 Pas Negeri, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah
 berkata, tindakan Husam sejak kebelakangan ini disifatkan sebaga
i mengumpul alasan yang boleh menghalalkan tindakannya menyerang parti.

“Kita (Pas Kelantan) sering mengadakan mesyuarat, sama ada perkara ini 
dibangkitkan atau tidak, itu saya tidak tahu. Cuma kita di peringkat
 negeri dan sebagainya tidak boleh mengambil sebarang tindakan, 
hanya jawatankuasa pusat sahaja yang boleh,” katanya selepas merasmikan
 Program Gotong-royong Mega di Taman Transit, di sini semalam.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas diminta mengulas mengenai dakwaan 
Husam lantang menyerang parti dan presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi 
Awang terutamanya dalam isu dakwaan kerjasama antara Pas dan Umno.
Mohd Amar berkata, beliau tidak boleh menyatakan sama ada Husam
 bercakap benar atau tidak mengenai kerjasama dengan Umno tersebut,
 namun mengikut maklumat yang beliau ada, ia tidaklah sebagaimana 
dakwaan Husam tersebut.

Mohd Amar juga turut memberitahu, tindakan Husam itu tidak mengikut 
saluran yang betul dan ia bukan sahaja memberi kesan kepada parti, 
malah secara peribadinya kepada Adun Salor itu sendiri.

“Bagi saya, tidak kena lah mengkritik dan menyerang parti secara terbuka,
 sebelum ini pun berulang kali arwah Tok Guru Nik Aziz sebut, parti
 ini jemaah, berumah tangga, jika ada masalah, jangan cakap di kedai 
kopi, gunalah saluran yang betul.

“Bila dia (Husam) buat macam itu, banyak sangat orang berfikir yang
 tidak betul. Saya percaya orang Pas tidak boleh terima cara dia. Bila
 seseorang bercakap mengenai parti dan politik, macam orang kata 
kepada ayah kita di kedai kopi, takkan kita sebagai anak tidak terasa?”
katanya.

Husam sebelum ini turut mendakwa, teguran yang diutarakannya tidak 
diterima parti, dan Mohd Amar ketika mengulas dakwaan tersebut 
memberitahu, beliau sendiri tidak mengetahui apakah yang ditegur 
Husam sebelum ini.

“Apa yang ditegur, saya pun nak tahu, dalam isu presiden ini pernah
 ke dia bangkitkan sebelum ini, kenapa sekarang baru timbul, selepas
 muktamar dan sebagainya. Sepatutnya sebelum muktamar lagi perlu
 dibangkitkan,” katanya.

Yang terbaru, Husam didakwa menyarankan Abdul Hadi memberi laluan
 kepada kepimpinan baru yang boleh membawa perubahan kepada parti
 Islam itu dan tanggungjawab yang digalas diganti dengan Timbalan 
Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas cadangan tersebut, Mohd Amar berkata, adakah benar masalah
 yang dikatakan wujud dalam Pas kini terbukti disebabkan Abdul hadi.

“Cadangan itu semua orang boleh buat, tetapi adakah betul masalah
 yang dialami kini adalah disebabkan oleh presiden, atau adakah 
masalah ini dicetuskan oleh ahli-ahli Pas terutamanya yang kalah dalam
 pemilihan baru ini, bukan presiden yang menjadi masalah,” katanya
.