Pecat jika tidak sehaluan
Suhaizan
SHAH ALAM - Perjanjian Pakatan Harapan, gabungan parti politik
pembangkang DAP, PKR dan Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini
menggariskan langkah tegas termasuk memecat keanggotaan parti tidak
sehaluan.
Selain itu, mewujudkan tiga badan bagi menyelaras pentadbiran pakatan
parti politik itu iaitu Majlis Presiden yang membuat keputusan tertinggi
pakatan itu termasuk bertanggungjawab memecat parti yang tidak
sehaluan.
Sebuah lagi ialah Badan Perantara yang bertanggungjawab mengendali aduan dan menyelesaikan pertikaian dalam pakatan itu.
Turut diwujudkan Jawatankuasa Pilihan Raya yang bertanggungjawab
merundingkan agihan kerusi antara ketiga-tiga parti itu bagi setiap
pilihan raya.
Setiausaha Organisasi Parti Amanah, Suhaizan Kayat membentangkan
fasal-fasal perjanjian Pakatan Harapan pada persidangan pimpinan pakatan
itu di sini hari ini
Beliau berkata, tindakan mewujudkan kuasa memecat keanggotaan parti
yang tidak sehaluan penting bagi mengelakkan pertelagahan politik dalam
pakatan.
"Tindakan ini juga dapat mengelakkan kredibiliti parti-parti pakatan terjejas seperti yang berlaku dalam PR sebelum ini.
"Kita belajar daripada kesilapan dalam Pakatan Rakyat kerana sebelum
ini tidak ada satu kuasa yang boleh 'terminate' (pecat) keahlian parti
yang menganggotai pakatan," katanya.
Suhaizan berkata: "Kita tidak mahu ada parti dalam pakatan ini buat dua
kerja seperti yang terjadi dalam Pakatan Rakyat iaitu buat kerja
memperkasakan pakatan dan pada masa sama meruntuhkan pakatan."
PR, yang merupakan sebuah gabungan parti politik pembangkang terdiri
daripada Pas, DAP dan PKR yang diwujudkan pada 2008 selepas Pilihan Raya
Umum ke 12, telah diselubungi konflik dalaman berhubung isu hudud dan
perebutan kerusi bertanding dalam pilihan raya umum.
Pakatan itu terbubar apabila hubungan Pas dan DAP terputus pada Jun tahun lepas.
Sementara itu, Naib Presiden PKR Rafizi Ramli yang turut memberi
penjelasan pada majlis tersebut berkata dengan adanya perjanjian antara
anggota Pakatan Harapan maka tiada lagi konsep "bersetuju untuk tidak
bersetuju" diamalkan oleh gabungan parti dalam pakatan itu.
Rafizi berkata dengan adanya Perjanjian itu apa yang pernah berlaku
dalam Pakatan Rakyat seperti perbezaan pendapat dalam isu hudud dan
pembahagian kerusi pada pilihan raya, yang memberi impak negatif kepada
pakatan parti politik itu di mata umum, tidak akan berlaku lagi.
Suhaizan, Rafizi dan Setiausaha Organisasi Parti DAP, Anthony Loke Siew
Fook adalah antara tokoh-tokoh terbabit dalam mendraf perjanjian
Pakatan Harapan yang mempunyai tujuh fasal sebagai intipati kepada
perjanjian pakatan baharu.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Pembangkang, Datuk Seri Dr Wan
Azizah Wan Ismail, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Pengerusi Amanah
Mohamad Sabu dan pemimpin kanan lain dari ketiga-tiga parti.


0 orang berkata:
Post a Comment