Penjawat awam terima pemberian khas RM500 esok
gambar hiasan
KUALA LUMPUR - Seramai 1.6 juta penjawat awam akan menerima pemberian khas 2015 sebanyak RM500 seorang daripada kerajaan esok.
Selain itu, sebanyak 1 juta pesara kerajaan juga akan menerima Pemberian Bayaran Khas sebanyak RM250 esok.
Menurut Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 10 Tahun 2015 yang dikeluarkan
Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA), pemberian khas itu diberikan kepada
semua pegawai perkhidmatan awam persekutuan yang berkhidmat pada 2015.
Ia tertakluk kepada syarat bahawa pegawai telah berkhidmat
sekurang-kurangnya 30 hari berturut-turut termasuk semua jenis cuti
bergaji penuh dan cuti separuh gaji serta Hari Rehat Mingguan, Hari
Kelepasan Mingguan dan Hari Kelepasan Am dalam tempoh 1 Januari 2015
hingga 31 Disember 2015.
Pegawai yang layak dibayar pemberian khas itu antaranya ialah pegawai
lantikan tetap, sementara, perkhidmatan kontrak dan guru interim serta
pegawai bercuti separuh gaji.
Pemberian khas kepada kakitangan awam itu melibatkan peruntukan
sebanyak RM645 juta, seperti yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak semasa membentang Bajet 2016 pada 23 Oktober lepas.
Selain itu, bagi menghargai sumbangan dan khidmat bakti penjawat awam,
kerajaan juga bersetuju menyediakan peruntukan RM1.1 bilion untuk
memberi faedah pemindahan gaji bersamaan dengan satu kenaikan gaji
tahunan mengikut gred kepada semua kakitangannya.
Menurut pekeliling itu, kerajaan juga akan menambah baik 252 skim
perkhidmatan untuk 406,000 penjawat awam dan menetapkan gaji permulaan
terendah dalam perkhidmatan awam kepada RM1,200 sebulan.
Kadar pencen minimum juga ditetapkan kepada RM950 sebulan yang
melibatkan hampir 50,000 pesara awam dengan sekurang-kurangnya 25 tahun
tempoh perkhidmatan.
Pelaksanaan kesemua langkah ini akan berkuat kuasa pada 1 Julai tahun ini dengan peruntukan sebanyak RM1.4 bilion.
Sementara itu, Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di Dalam
Perkhidmatan Awam (Cuepacs) Datuk Azih Muda berkata pihaknya berterima
kasih kepada kerajaan kerana bersetuju memberikan bantuan khas kewangan
kepada semua kakitangan awam dan pesara.
"Kita tahu penjawat awam sememangnya menunggu bantuan seperti ini dan
sekurang-kurangnya ia dapat meringankan beban penjawatan awam.
"Cuepacs ingin menyarankan kepada penjawat awam supaya menggunakan
peruntukan yang bakal diterima itu dengan bijaksana," katanya ketika
dihubungi Bernama di sini, hari ini.
Beliau berkata wang itu antaranya dapat menampung kos perbelanjaan persekolahan anak-anak bagi mereka yang bekeluarga. -Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment