Ahli PAC perlu henti buat tuduhan, fokus siasat 1MDB
1Malaysia Development Berhad
KUALA LUMPUR - Ahli Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) perlu
memberi fokus terhadap siasatan 1Malaysia Development Berhad (1MDB)
dengan berasaskan bukti, dan berhenti daripada membuat kenyataan
bersifat prejudis, kata seorang daripada ahli jawatankuasa itu.
Datuk Liang Teck Meng berkata ahli PAC perlu menunaikan tugas mereka
sebagai Ahli Parlimen dan memberi fokus terhadap fakta dan bukti,
bukannya dengan mewujudkan persepsi tidak benar.
"Saya ingin menasihati anggota berkenaan supaya berhenti bermain
politik kotor, sebaliknya menunaikan tugas secara terhormat sebagai Ahli
Parlimen dan berkhidmat untuk orang ramai serta memberi fokus kepada
fakta dan bukti berasaskan siasatan dan penghakiman mengenai 1MDB," kata
Liang, yang juga Ahli Parlimen Simpang Renggam, dalam laman Facebooknya
hari ini.
Liang bagaimanapun tidak menyebut nama Ahli Parlimen berkenaan.
Menurut laporan media, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara dari DAP Tony
Pua telah menulis mahu mendedahkan orang yang menjadi 'penyangak' di
belakang 1MDB dalam laman Facebooknya pada 1 Januari lepas.
"Anda bertanggungjawab kepada pengundi anda untuk mendedahkan perkara
sebenar, bukan mewujudkan persepsi tidak benar, Yang Berhormat.
Berhentilah daripada bermain-main," kata Liang.
Liang berkata orang yang waras tidak akan sekali-kali cuba menimbulkan
prejudis dan mengaibkan diri sendiri serta PAC dengan cara itu,
melainkan beliau mempunyai agenda politik tersembunyi yang tidak
berasaskan kebenaran atau fakta sebagai bukti.
"Ini menimbulkan persoalan sama ada ahli PAC berkenaan sengaja mahu
beliau digantung atau dipecat daripada tugas menjalankan penyiasatan
terhadap 1MDB apabila beliau secara terang-terangan dan berulang kali
melanggar arahan tetap Parlimen dan PAC.
"Yang Berhormat ini secara jelas membuat dakwaan berasaskan pendapatnya
yang berat sebelah, bukan berasaskan akaun atau temubual dengan banyak
saksi yang dipanggil PAC setakat ini - dan sudah tentu tidak berasaskan
apa yang dimaklumkan oleh para juruaudit kepada kami.
"Dengan secara terang-terangan mengharapkan beliau digantung menjelang
hasil akhir siasatan terhadap 1MDB, adakah beliau mahu membuat
kesimpulan awal mengenai hasil itu agar beliau dianggap menjadi mangsa
bagi mewujudkan persepsi dalam kalangan orang ramai bahawa beliau
dihalang secara tidak adil daripada 'membongkar kebenaran serta
mendedahkan mereka yang menjadi penyangak'?" katanya. -Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment