Pas tak pernah hukum pimpinan Umno termasuk Najib
SHAH ALAM - Pas tidak pernah menghukum pimpinan Umno sama ada
pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak mahupun pemimpin terdahulu.
Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hasan berkata, kerjasama antara dua
parti Melayu Islam itu perlu berlandaskan kepada Islam dan bukannya
perkauman.
"Masalahnya bukan nak hukum sesiapa, soal hukum itu tak berbangkit,
kerjasama itu mesti dibina atas dasar yang betul, kebaikan dan kebajikan
rakyat.
"Bukannya atas dasar perkauman, permusuhan dan perkara-perkara yang
boleh mencetuskan dosa (kerana) setiap seruan bekerjasama itu mesti
hanya untuk Islam," katanya kepada Sinar Online, hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Exco Pemuda Umno, Dr Fathul Bari Mat Jahaya
pada Ahad lepas bahawa tidak adil untuk menghukum pentadbiran Najib
kerana dosa pemimpin terdahulu kerana kegagalan kerjasama Umno-Pas.
ARTIKEL BERKAITAN: Jangan hukum Najib kerana dosa pemimpin terdahulu
Fathul Bari berkata sekalipun tidak bersetuju dengan kerjasama itu,
pemimpin Pas tidak sewajarnya menghalang usaha ke arah kebaikan itu demi
kepentingan umat Islam di negara ini.
Nasrudin juga berkata, jika kerjasama itu demi atas kepentingan politik
dan kebendaan, kelak umat Islam akan bergaduhan antara satu sama lain.
"Tak mungkin boleh bersatu atas faktor kebendaan, politik atau perkara
lain (kerana) manusia akan bercakaran dan saling mendahulukan
kepentingan masing-masing," ujarnya.
Nasrudin berkata lagi, bagaimanapun kerjasama itu tidak boleh digunakan dalam semua perkara.
"Dengan Islam saja boleh satu padukan, semua pihak tak kira parti, individu atau tokoh mana.
"Tak boleh kerjasama itu atas dasar perkara yang boleh mendatangkan
dosa, maksiat, mungkar, untuk saling bermusuhan, berpihak perkauman dan
rasis," katanya lagi.


0 orang berkata:
Post a Comment