Pakatan baharu Pas matangkan politik negara
Ahmad Zahid Hamidi
HUTAN MELINTANG - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid
Hamidi secara peribadi menyambut baik keputusan Pas untuk menubuhkan
pakatan baharu dengan sebuah parti pelbagai bangsa sebagai persediaan
menghadapi PRU14 akan datang.
Ahmad Zahid, yang juga Naib Presiden Umno berkata, langkah sedemikian
akan lebih mewarnai arena politik tanah air sekali gus menjadikan rakyat
lebih matang berpolitik.
"Ini juga mampu menjadikan politik tanah air lebih baik, lebih
demokratik dan banyak pilihan," katanya ketika berucap pada majlis
amanah khas Ketua Umno Bahagian kepada kepimpinan Umno Cawangan Empat
Peringkat Bahagian Bagan Datoh di sini hari ini.
Ahmad Zahid mengulas pengumuman Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin
Hassan pada Khamis mengenai keputusan parti itu untuk bergerak sebagai
sebuah lagi parti politik selepas Barisan Nasional (BN) dan Pakatan
Harapan.
Bagaimanapun, perkara itu hanya akan diumumkan pada Rabu ini.
Ahmad Zahid menarik perhatian apabila berkata keputusan Pas itu jelas
menunjukkan bahawa parti itu telah menjadi kuda tunggangan DAP selama ia
berada dalam pakatan pembangkang.
"Harap rakyat sedar DAP tidak lebih daripada parasit dan anai-anai yang meruntuhkan sistem demokrasi negara.
"Saya tidak berhasrat untuk masuk campur, tapi perkembangan baharu ini
memberikan kesedaran apa yang berlaku adalah hidayah daripada ALLAH,"
katanya.
Ketua Umno Bahagian Bagan Datoh itu berkata perpaduan yang jitu dalam
kalangan anggota di peringkat akar umbi merupakan satu daripada 'resepi'
utama untuk memastikan parti keramat orang Melayu tersebut terus kukuh.
Ahli Umno di semua peringkat juga perlu sentiasa bekerja kuat tanpa
mengharapkan sebarang ganjaran selain perlu mengatur strategi untuk
memenangi hati serta pemikiran rakyat, katanya.
"Saya harap kita tidak hanya melihat kepada politik di luar, tetapi apa
yang penting asas kita adalah politik dalaman," katanya. –Bernama


1 orang berkata:
Kahkahkah... politik pas sangat matang, sampai "musuh" pun dah sokong tindak tanduk pas... kah kah kah
Post a Comment