Jangan alihkan isu pelantikan Gabenor
Tuan Ibrahim
SHAH ALAM – Pas mengingatkan Kerajaan Persekutuan untuk tidak
mengalihkan isu pelantikan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) baharu
dengan berita-berita sensasi yang mengundang simpati rakyat seperti
cubaan penculikan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan setahun lalu.
Timbalan Presidennya, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pelantikan
pengganti Tan Sri Zeti Akhtar Aziz perlu diberikan perhatian sepenuhnya
dan memastikan proses itu bebas daripada sebarang pengaruh politik.
“Mereka yang pernah terlibat dalam kabinet Perdana Menteri, Datuk Seri
Najib Tun Razak dan mana-mana parti politik BN mestilah ditolak sebagai
calon Gabenor BNM yang baharu.
“Gabenor BNM baharu mestilah seorang yang berani, tegas, adil, berpihak
pada kebenaran dan berkemampuan seperti Tan Sri Zeti untuk melakukan
perkara yang betul apabila berdepan dengan isu seperti 1Malaysia
Development Berhad (1MDB) dan ekonomi mencabar,” katanya dalam satu
kenyataan hari ini.
Kontrak Zeti sebagai Gabenor BNM bakal tamat bulan depan namun
penggantinya masih menjadi tanda tanya, susulan lanjutan perkhidmatan
penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat itu masih tiada khabar
berita dari Putrajaya.
Sebelum ini Zeti dilaporkan bahawa pelantikan gabenor baharu perlu
melalui proses terperinci yang akan dikendalikan oleh salah satu dari
tiga cabang jawatankuasa lembaga pengarah Bank Negara iaitu jawatankuasa
tadbir urus dan dikawal selia oleh Akta Bank Negara Malaysia 2009.
Tuan Ibrahim juga berkata, sehingga kini, Najib masih tidak memberi
sebarang petanda bahawa beliau setuju dengan Zeti dalam memastikan BNM
sebagai badan bebas daripada sebarang pengaruh politik.
“Rakyat menanti jaminan Najib bahawa BNM akan bebas daripada campur
tangan ahli politik. Jaminan ini sangat penting bagi membina keyakinan
pelabur luar dan integriti BNM dapat dipertahankan.
“Kerajaan wajib melupakan kecenderungannya dalam mencabuli kebebasan BNM,” ujarnya.
Beliau turut meminta Najib melanjutkan kontrak Zeti sekiranya laporan
audit skandal kewangan 1MDB memerlukan beliau untuk mengambil tindakan
sewajarnya.
“Biar Tan Sri Zeti memenuhi hasratnya untuk melihat isu 1MDB diselesaikan sebelum beliau bersara,” katanya lagi.


0 orang berkata:
Post a Comment