Gambar hiasan
SUNGAI PETANI - Calon BN pada PRU13 wajar disiasat sama ada berbelanja
melebihi had dibenarkan bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
Ketua Pemuda Amanah Kedah, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, siasatan
itu perlu dilakukan susulan kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri
Idris Haron yang mengesahkan BN membelanjakan lebih daripada RM1.5
bilion pada PRU13 lalu di sebuah portal berita.
Menurutnya, dalam kenyataan itu, Idris mengesahkan dakwaan bekas
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir bahawa Perdana
Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memaklumkan dalam suatu mesyuarat
Ketua-Ketua Perhubungan Umno, BN membelanjakan sejumlah RM1.5 bilion
pada PRU13 lalu.
Bagaimanapun, Idris dipetik berkata, jumlah itu tidak semestinya
daripada derma politik berjumlah RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun
bank peribadi Najib.
“Berdasarkan kepada peruntukan bawah Seksyen 19 (1) Akta Kesalahan
Pilihan Raya 1954, seseorang calon dalam pilihan raya atau ejen pilihan
rayanya tidak boleh membelanjakan wang melebihi RM200,000 bagi kerusi
parlimen dan tidak melebihi RM100,000 bagi kerusi Dun,” katanya.
Mohd Asmirul Anuar berkata, pengesahan Idris jelas menunjukkan
calon-calon BN telah berbelanja melebihi had dibenarkan Akta Kesalahan
Pilihan Raya 1954 dan melakukan suatu kesalahan bawah Seksyen 19 (2)
Akta sama.
“Siasatan berhubung pendedahan Mukhriz dan pengesahan yang dibuat Idris
berhubung isu sama ini perlu diambil perhatian, saya harap siasatan
dilakukan secara telus,” katanya.
Sehubungan itu, satu laporan polis berhubung perkara itu dibuat di Balai Polis Sungai Petani, pada 7.15 malam kelmarin.
Mohd Asmirul Anuar berkata, laporan polis dibuat agar polis menyiasat
pihak-pihak berkaitan berhubung pelanggaran Akta Kesalahan Pilihan Raya
1954 kerana ia merupakan suatu kesalahan jenayah.


1 orang berkata:
Macam mana nak siasat. Akta menywbu,CALON atau ejen calon. Tapi yang berbelanja bukan CALON atau ejen calon. Atau Parti yg.membuat perbelanjaan.
Jadi, CALon tak langgar apa apa akta.
sukar untok sabitkan calon. Calon akan jawab bukan saya yg.belanja atau arahkan.
Post a Comment