PKR tiada halangan bincang dengan Pas soal kerusi
Wan Azizah Wan Ismail
PETALING JAYA - PKR tiada halangan mengadakan perbincangan dengan Pas
berhubung calon untuk Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala
Kangsar.
Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, pihaknya
tidak ada sebarang halangan sekiranya Pas hanya bersedia untuk
berbincang dengan PKR sahaja serta tidak melibatkan parti lain dalam
Pakatan Harapan dalam menentukan calon untuk bagi kedua-dua kerusi
berkenaan.
"Kita boleh bincang..Tidak ada masalah... Perbincangan masih berjalan
sebab dalam Selangor memang kerajaan negeri terdiri daripada Pas, PKR
dan DAP," katanya ketika sidang media yang berlangsung di Ibu Pejabat
PKR hari ini.
Dalam pada itu, Azizah memaklumkan bahawa Pakatan Harapan masih belum
lagi memutuskan dengan muktamad sama ada ingin meletakkan calon bagi
kedua-dua kerusi berkenaan.
Beliau berkata, Pakatan Harapan bukan sahaja bakal menghadapi PRK namun
turut akan berdepan dengan seluruh jentera kerajaan selepas ini.
"Kita dalam Pakatan Harapan mempunyai mesyuarat masing-masing dan
selepas itu kita akan berkumpul semula untuk berbincang,"katanya.
Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kini kosong setelah dua
ahli Parlimennya iaitu Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Mohammad Wan
Khair-Il Anuar Wan Ahmad terlibat dalam nahas helikopter terhempas
baru-baru ini.


0 orang berkata:
Post a Comment