Malaysia dijangka alami jerebu, La Nina mulai Jun
Pemandangan berjerebu yang melindungi keindahan pencakar langit ibu kota dari arah Bangsar - Foto Bernama
PUTRAJAYA - Malaysia dijangka berdepan masalah jerebu bermula bulan
hadapan hingga Oktober berikutan cuaca panas dan kering di Wilayah
Sumatera serta Kalimantan, Indonesia, kata Menteri Sumber Asli dan Alam
Sekitar Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar.
Beliau berkata impak jerebu itu bagaimanapun mungkin berada pada tahap
sederhana berikutan fenomena La Nina diramal berlaku pada tempoh sama
yang menyebabkan hujan di beberapa kawasan di Semenanjung.
Katanya keadaan cuaca sedemikian diramalkan berdasarkan kajian yang
dilakukan Pusat Meteorologi Khas Asean (ASMC) yang berpangkalan di
Singapura.
"Mengikut kajian tersebut, keadaan cuaca panas dan kering boleh
menyebabkan berlakunya kebakaran tanah gambut dan asapnya akan ditiup
angin ke Malaysia yang menyebabkan jerebu.
Namun, hujan yang diramal berlaku pada tempoh sama yang mungkin
menyebabkan banjir di beberapa negeri terutama Kelantan, Terengganu dan
Pahang dijangka membantu mengurangkan kesan pencemaran jerebu," katanya
pada sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Wan Junaidi berkata perjanjian persefahaman (MoU) antara Malaysia dan
Wilayah Sumatera dalam menangani masalah jerebu yang ditandatangani
sebelum ini tidak akan dilaksanakan sebaliknya masalah jerebu rentas
sempadan itu akan ditangani secara kerajaan dengan kerajaan (G2G).
Beliau berkata pihaknya menerima baik penjelasan Indonesia untuk tidak
meneruskan kerjasama itu kerana selain tidak efektif, ia sebenarnya
hanya perjanjian dengan kerajaan tempatan Sumatera, sedangkan masalah
jerebu memerlukan kerjasama kerajaan Indonesia.
Untuk itu, katanya, satu mesyuarat teknikal bagi membincangkan
instrumen yang bakal digunakan di bawah G2G berkenaan akan diadakan di
Indonesia pada 30 Mei ini.
Dalam pada itu, Wan Junaidi berkata cadangan Malaysia supaya kajian
penilaian impak jerebu yang melanda rantau Asean tahun lepas
dilaksanakan dipersetujui pada mesyuarat Mesyuarat Jawatankuasa Pemandu
Menteri-Menteri Sub-Serantau (MSC) Mengenai Pencemaran Jerebu Rentas
Sempadan di Singapura, Rabu lepas.
Beliau berkata Sekretariat Asean telah ditugaskan untuk mengumpulkan
data-data berkaitan dari setiap negara bagi mengenal pasti impak jerebu
kepada ekonomi, kesihatan dan sosial.
Katanya perkara itu telah dimaklumkan kepada mesyuarat jemaah menteri
hari ini di mana kementerian atau agensi berkaitan yang terjejas akibat
jerebu diminta menyediakan data atau maklumat yang diperlukan untuk
tindakan lanjut kementeriannya.
"Kita harap maklumat ini dapat dikumpulkan secepat mungkin bagi
diserahkan kepada pihak sekretariat untuk dibentangkan bagi tindakan
Indonesia mengenai apakah kesan jerebu daripada negara itu kepada
Malaysia, Singapura, Thailand dan Brunei," katanya. –Bernama


0 orang berkata:
Post a Comment