MELAKA - Institut Kajian Sejarah dan Patriotisme Malaysia (IKSEP) menegaskan kajian mengenai kewujudan Hang Tuah tidak perlu dilakukan melalui Asid Deoksiribonakleik (DNA) sekali gus dianggap membuang masa dan pembaziran.

Pengerusinya, Datuk Dr. Mohd Jamil Mukmin berkata, kajian mengenai wira Melayu itu telah pun dibuat oleh pakar-pakar sejarah dan sastera sejak 60 tahun lalu yang membuktikan Hang Tuah semangnya wujud dan tidak harus dipertikaikan.

Menurutnya, bukti-bukti kewujudan Hang Tuah juga telah dibentangkan dalam beberapa seminar sebelum ini yang mana ia bukan sahaja berasaskan kepada sumber Melayu sahaja seperti Sejarah Melayu dan Hikayat Hang Tuah malah juga sumber dari Negara China iaitu dokumen Ming Shi yang mencatatkan sejarah destinasi Ming selain Portugis dan Jepun.

"Bukti terkini mengenai kewujudan Hang Tuah juga boleh kita lihat dalam buku Hang Tuah Catatan Okinama oleh Prof. Emeritus Dr. Hashim Musa dan Dr. Rohaidah Kamaruddin.

"Malah pada abad ke 15 terdapat 11 surat daripada kerajaan negeri Melaka kepada kerajaan Ryukyu (Okinawa) dan dalam surat-surat tersebut diantaranya ada menyebut kisah Laksmana Melaka, Hang Tuah.

"IKSEP menegaskan sekali lagi tidak perlunya kajian DNA lebih-lebih lagi ia memerlukan kos yang tinggi untuk melakukannya dan tidak sepatutnya dijadikan perdebatan memandangkan telah banyak bukti yang diberikan berhubung kewujudan Hang Tuah," katanya di pejabat IKSEP Batu Berendam hari ini.

Mohd Jamil berkata demikian ketika mengulas mengenai pihak yang mendakwa  pakar dan ahli sejarah yang mengkaji susur galur Melayu masih gagal menemukan hasil saintifik mengenai kebenaran wujudnya Hang Tuah.