PRK Sungai Besar: BN dijangka kalah teruk
Md Shukri
SHAH ALAM - BN mungkin kalah teruk dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar.
Pensyarah Kanan Hal Ehwal Politik dan Antarabangsa, Universiti Utara
Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib yang mengandaikan demikian berkata,
kebarangkalian itu sukar dinafikan berdasarkan pada situasi semasa dan
juga isu-isu di Selangor.
"Saya menjangkakan calon daripada Amanah (Parti Amanah Negara) akan
diletak untuk berdepan dengan calon BN. Calon ini akan mewakili Pakatan
Harapan dan pertembungan ini nanti akan dilihat sebagai pertembungan
antara kerajaan negeri dengan kerajaan Pusat," katanya.
Beliau berkata, meskipun Amanah masih baharu dan kawasan itu pula
dilihat kawasan yang didominasi oleh Pas sebagai parti pembangkang yang
terkuat, pakatan pembangkang dilihat lebih cenderung untuk meletakkan
calon daripada Amanah.
"Pas kini bukan lagi anggota pakatan meskipun Sungai Besar kubu kuat
parti itu. Jika Amanah bertanding, saya andaikan Pakatan Harapan akan
lebih mendokong parti berkenaan berbanding Pas.
“Pas mungkin akan berhadapan dengan pertembungan hebat daripada Pakatan
Harapan terutama Amanah yang ramai melihat sebagai proksi DAP,”
katanya.
Beliau berkata, faktor kerjasama antara Tun Dr Mahathir Mohamad dengan
Pakatan Harapan menerusi Deklarasi Rakyat juga menambah lagi
kebarangkalian kekalahan BN di kerusi berkenaan.
“Pakatan Harapan (dijangka) akan cuba meminggirkan Pas dalam pakatan dan bekerjasama dengan Tun Mahathir bagi menewaskan BN.
“Kerjasama mereka itu dijangka akan lebih mengganas menjelang PRK di Sungai Besar nanti,” katanya.
Md Shukri berkata, BN perlu ketengahkan calon berwibawa dan dihormati ramai untuk merealisasikan peluang mereka.
“Soal populariti calon dan kewibawaan penting pada PRK kali ini.
“Jangan hanya ambil kira soal jawatan dalam Umno bagi seseorang calon
tapi fokus pada soal calon kerana ia akan menjadi faktor yang menambat
hati penduduk atau pun tidak,” katanya.
Pada PRU13, wakil BN, Datuk Noriah Kasnon menewaskan calon Pas, Mohamed Salleh M. Husin dengan majoriti 399 undi.
Noriah, yang meninggal dalam tragedi helikopter 5 Mei lalu, juga memenangi kerusi itu pada PRU 2004 dan 2008.


0 orang berkata:
Post a Comment