PRK: Pas hanya mahu jumpa PKR
Mustafa Ali
SHAH ALAM - Pas hanya akan berunding dengan PKR bagi memutuskan soal
calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen
Sungai Besar dan Kuala Kangsar.
Ini bermakna, parti itu menolak sebarang perundingan dengan Pakatan
Harapan walaupun Parti Amanah Negara (Amanah) dilapor telah menyatakan
kesudian untuk berbincang dengan Pas bagi mengelak pertembungan sesama
parti pembangkang.
Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas, Datuk Mustafa Ali berkata, perbincangan bersama PKR akan dilakukan dalam tempoh terdekat.
“Kita ada hubungan dengan PKR, jadi rundingan hanya akan dibuat dengan
PKR sahaja. Amanah tidak perlulah (berunding) kerana kita tidak
mempunyai hubungan dengan mereka. Kita juga tidak merancang untuk
berbincang dengan mereka,” katanya.
Pas bagaimanapun tiada halangan sekiranya Amanah membuat keputusan meletakkan calon mereka di dua pilihan raya itu.
“Malaysia negara demokrasi dan bebas, sesiapapun boleh meletakkan
calon mereka. Namun, sebaik-baiknya, biarlah satu lawan satu,” katanya.
Pas sebelum ini membuat keputusan untuk bertanding di dua kawasan
Parlimen Sungai Besar, dan Kuala Kangsar, berikutan kematian dua ahli
Parlimen berkenaan dalam nahas helikopter di Sarawak 5 Mei lalu.
Parlimen Sungai Besar sebelum ini diwakili Timbalan Menteri Perusahaan
Perladangan dan Komoditi, Datuk Noriah Kasnon, manakala Parlimen Kuala
Kangsar diwakili Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan Ahmad,
kedua-duanya daripada BN.
Kedua-dua mereka antara yang terbunuh dalam tragedi helikopter terhempas ketika penerbangan dari Betong ke Kuching, Sarawak.
Turut terbunuh, suami Noriah, Asmuni Abdullah; Ketua Setiausaha
Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Sundaran
Annamalai; pengawal peribadi Noriah, Ahmad Sobri Harun dan juruterbang,
Kapten Rudolf Rex Ragas.


0 orang berkata:
Post a Comment