SHAH ALAM - Pas bukan pengacau, sebaliknya bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad adalah pengacau sebenar dalam PRU kali ini.

Pengarah Pilihan Raya Pas Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir berkata, Pas bukan pertama kali menyertai pilihan raya dan penyertaan mereka dalam pilihan raya juga bukan untuk mengganggu sesiapa.

Beliau berkata, penyertaan parti itu dalam pilihan raya untuk membawa mesej perjuangan secara konsisten dan itu yang dilakukan parti Islam itu sepanjang 14 penggal lalu.

“Apa yang jelas, kita nampak Dr Mahathir selaku Pengerusi Pakatan Harapan sebenarnya yang lebih mengganggu rakyat dalam pilihan raya kali ini.

“Bila ada kepentingan atau agenda peribadi, beliau dilihat tergesa-gesa nak ambil alih jawatan yang beliau pernah jawat 22 tahun dulu,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Pas Selangor, semalam.

Katanya, kepentingan peribadi seperti itu harus diketepikan kerana apa yang lebih penting adalah nasib dan masa depan rakyat yang perlu dibela dan dipertahankan.

“Jelas Pas fokus dalam isu tersebut kerana kita bukan nak menaikkan suami orang atau anak orang menjadi Perdana Menteri mahupun menteri besar tapi kita naikkan suara rakyat yang terbela,” katanya.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Mahathir yang mengatakan Pas bertanding PRU hanya untuk memecah-belahkan orang Islam walaupun parti itu sering kalah dalam kebanyakan pilihan raya.  

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai ramalan Mahathir yang mengatakan parti pimpinan Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu hanya akan menang 11 daripada 158 kerusi yang ditandingi pada PRU14, Roslan Shahir berkata, pihaknya yakin Pas mampu menang sekitar 40 ke 60 kerusi dari semua kerusi ditandingi di peringkat Persekutuan.

Menurutnya, Pas juga yakin dengan penerimaan rakyat sepanjang tempoh berkempen serta sebelum penamaan calon lagi kerana rakyat sudah sedia untuk membuat perubahan.

“Di Selangor sendiri, Pas bertanding 46 kerusi dan sekurang-kurangnya 50 peratus dapat kita capai untuk meletakkan Pas sebagai satu-satunya parti yang dapat menerajui Selangor.

“Jadi sentimen politik adu domba, politik populis adalah artificial dan yang lebih berkesan kepada rakyat adalah siapa yang paling baik, siapa yang paling bersih dan boleh bela nasib mereka,” katanya.