Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini menangguhkan perbicaraan liwat membabitkan Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas diberitahu adik peguam bela utama, Karapal Singh telah meninggal dunia.
Perkara itu dimaklumkan oleh seorang lagi peguam bela, Sankara Nair yang berkata adik bongsu Karpal meninggal dunia pada jam 11 malam semalam.
Katanya, Karpal akan sibuk dengan urusan pengebumian sehingga Isnin kerana terpaksa terbabit dengan acara keagamaan.
Peguam Cara Negara II, Datuk Mohd Yusof Zainal Abiden berkata dalam keadaan seumpama itu adalah sukar bagi beliau membantah. Beliau juga merakamkan takziah kepada Karpal dan keluarganya.
Hakim Mohd Zabidin kemudian bersetuju membenarkan perbicaraan ditangguhkan sehingga Isnin ini.
Mahkamah yang bersidang hari ini sepatutnya mendengar hujah balas daripada Karpal berhubung dua permohonan daripada pihak pendakwaan.
Permohonan pertama adalah bagi hakim mengkaji semula keputusannya yang menolak tiga barangan sebagai bahan bukti yang dibuat pada perbicaraan dalam perbicaraan Selasa lalu. Permohonan kedua pula adalah bagi mahkamah mengarahkan ketua pembangkang itu membekalkan sampel DNA untuk diuji.
Semalam, Mohd Yusof mengakui permohonan pendakwaan itu bukan sesuatu yang lazim tetapi berhujah sampel DNA daripada Anwar adalah penting dan relevan kerana ia boleh menentukan sama ada DNA tersebut sepadan dengan yang diperolehi dari sperma yang dijumpai di kawasan keliling dubur pengadu, Mohd Saiful Bukhari Azlan..
"Tiada permohonan seumpama ini sebelum ini tetapi ini tidak bermakna ia tidak boleh dilakukan... atau tidak Seksyen (Akta Bahan Bukti) adalah hanya kata-kata. Kami mempunyai bukti tetapi kerana alasan teknikal, ia tidak diterima (oleh hakim)” katanya.
Yusof juga mendapati dirinya menjadi kecaman semalam apabila salinan permohonan pendakwaan dikatakan bocor dan disiarkan oleh beberapa pertubuhan media, terutamanya di New Straits Times dan blog Malaysia Today.
Peguam Cara Negara II itu mengaku bertanggungjawab manakala permohonan supaya tindakan menghina mahkamah dikenakan ke atas akhbar yang mencetaknya ditolak oleh hakim Mohd Zabidin.
0 orang berkata:
Post a Comment