Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Guru sandaran hamil menang saman kerajaan

July 12, 2011
SHAH ALAM, 12 Julai — Seorang wanita yang kehilangan jawatan Guru Sandaran Tidak Terlatih (GSTT) kerana hamil dua tahun lepas hari ini berjaya dalam tuntutannya apabila Mahkamah Tinggi di sini memutuskan bahawa beliau layak dan berhak dilantik untuk jawatan tersebut.

Hakim Datuk Zaleha Yusof yang membuat keputusan itu dalam kamarnya juga memerintahkan bahawa tindakan defendan-defendan pada 12 Januari 2009 untuk membatalkan pelantikan plaintif, Noorfadilla Ahmad Saikin, 29, sebagai GSTT adalah tidak berperlembagaan, tidak sah dan terbatal.

Noorfadilla dari Kajang yang memfailkan saman pemula pada 7 Mei 2010 menamakan pegawai khas Kumpulan Guru Simpanan Kerajaan Chayed Basirun, pegawai pelajaran Daerah Hulu Langat Ismail Musa, dan Pengarah Pelajaran Selangor Dr Zahri Aziz (bekas) sebagai defendan.

Turut dinamakan sebagai defendan ialah Ketua Pengarah Pelajaran, Menteri Pelajaran dan Kerajaan Malaysia.

Laporan Bernama Online menyebut, hakim turut memerintahkan bahawa kesemua defendan perlu membayar kepada plaintif kos, ganti rugi am dan faedah pada kadar lapan peratus setahun sehingga tarikh penyelesaian penuh serta taksiran ganti rugi am dibuat oleh kesemua defendan kepada plaintif.

Peguam Edmund Bon yang mewakili Noorfadilla ketika ditemui pemberita kemudiannya berkata Hakim berpuas hati bahawa anak guamnya berhak untuk merujuk kepada perkara Konvensyen Untuk Menghapuskan Diskriminasi Dalam Semua Bentuk Terhadap Wanita 1979/81.

Konvensyen itu mempunyai kuasa undang-undang di Malaysia dalam mentafsirkan Artikel 8 (2) Perlembagaan Persekutuan iaitu tidak boleh berlaku diskriminasi berdasarkan jantina di khalayak umum.

Bon berkata hakim juga memaklumkan bahawa kerajaan Malaysia telah menandatangani konvensyen itu dan justeru mahkamah berhak untuk merujuk kepada konvensyen tersebut dalam membuat keputusan.

Dalam afidavit sokongannya, Noorfadilla berkata beliau menghadiri temu duga pada 2 Januari 2009 di Pejabat Pelajaran Daerah Hulu Langat dan diminta mengisi borang deklarasi yang hanya mengandungi soalan-soalan berkaitan dengan maklumat peribadi serta latar belakang pendidikannya dan tidak terdapat sebarang soalan mengenai status keadaan atau kesihatan.

Menurut Noorfadilla beberapa hari selepas itu beliau menerima tawaran untuk jawatan GSTT melalui khidmat pesanan ringkas (SMS) dari pegawai pejabat pelajaran Daerah Hulu Langat.

Plaintif berkata pada sesi taklimat, seorang pegawai pejabat pelajaran Daerah Hulu Langat menyuruh semua calon wanita yang hamil untuk membuat pengakuan dengan segera dan selepas beliau dan dua lagi wanita mengakui bahawa mereka sedang mengandung, pegawai tersebut mengambil semula memo penempatan daripada mereka tanpa sebarang soalan lain.

Noorfadilla berkata pegawai terbabit memberitahu mereka bahawa wanita hamil tidak boleh dilantik sebagai GSTT kerana tugas GSTT akan melibatkan aktiviti kokurikulum yang tidak sesuai untuk wanita hamil, serta alasan-alasan lain.

Tiada alasan diberikan bahawa Kementerian Pelajaran melarang wanita hamil untuk dilantik sebagai GSTT.
Sehubungan itu, beliau berkata tindakan pejabat pelajaran Daerah Hulu Langat membatalkan pelantikan beliau sebagai GSTT adalah satu perbuatan diskriminasi terhadap seorang wanita hamil dan bercanggah dengan Artikel 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan serta Akta Pekerjaan 1955.

Selain Bon, plaintif turut diwakili peguam Honey Tan dan Chan Yen Hui manakala kesemua defendan diwakili oleh Peguam Kanan Persekutuan Aida Adha dan Siti Kassim hadir sebagai peguam pemerhati bagi pihak Majlis Peguam.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.