Mantan hakim mahkamah persekutuan sesuai sebagai pengerusi SPR |
Posted on Thursday, July 28 @ 07:53:53 PDT by paktam
Oleh Syed Imran
Saya setuju dengan cadangan mantan hakim Mahkamah Tinggi Malaya, Datuk Abdul Razak Abu Samah agar seorang mantan hakim Mahkamah Persekutuan dilantik sebagai pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya atau SPR dan bukan seorang pesara perkhidmatan awam seperti sekarang.
Hujah Datuk Abdul Razak bahawa mantan hakim Mahkamah Persekutuan yang ariff mengenai undang-undang mampu bertindak secara adil, bebas dan telus berbanding dengan seorang pesara kerajaan mungkin boleh dipertikai tetapi ia ada kebenarannya.
Seorang pesara kerajaan yang pernah memegang jawatan tinggi seperti ketua setiausaha sesebuah kementerian sudah pasti terus terikat dengan budaya kerja semasa berkhidmat dan selalunya dilihat sebagai penyokong kerajaan, iaitu pihak yang mencadang namanya kepada Yang di-Pertuan Agong untuk dilantik sebagai pengerusi SPR.
Kita sedar bahawa menurut Perkara 114 dalam kurungan 1, Suruhanjaya Pilihan Raya hendaklah dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja, dan hendaklah mengandungi seorang pengerusi, seorang timbalan pengerusi dan lima orang ahli lain.
Kita juga sedia maklum bahawa nama mereka yang bakal dilantik itu diserah oleh kerajaan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapat perkenan seperti yang dikehendaki oleh Perlembagaan. Oleh itu, mereka adalah orang yang dipilih oleh kerajaan.
Pada melantik ahli-ahli SPR, Yang di-Pertuan Agong hendaklah memandang kepada mustahaknya diadakan suatu Suruhanjaya Pilihan Raya yang mendapat kepercayaan awam. Soal di sini adalah kepercayaan awam dan apa yang berlaku kebelakangan ini sedikit sebanyak mengaitkan kepercayaan awam terhadap kebebasan dan kesaksamaan SPR.
Seseorang ahli SPR adalah terhenti memegang jawatan apabila mencapai umur 65 tahun atau apabila hilang kelayakan oleh kerana, antara lainnya, akibat bankrap atau muflis yang belum dilepaskan; mengambil bahagian dalam apa-apa jawatan atau pekerjaan bergaji di luar tugas jawatannya; atau adalah seorang ahli mana-mana Majlis Parlimen atau Dewan Undangan Negeri.
Sama ada kita setuju atau tidak, kewibawaan SPR menjadi tanda tanya ekoran daripada isu Bersih 2.0 yang mendapat liputan meluas seantero dunia. Pihak kerajaan sudah tentu mempertahankan kebebasan SPR manakala pihak pembangkang dan beberapa NGO termasuk Majlis Peguam melihat sebaliknya walupun tidak secara menyeluruh.
Tugas SPR adalah untuk menjalankan pilihan raya bagi Dewan Rakyat dan Dewan Negeri serta menyedia dan menyemak daftar-daftar pemilih untuk pilihan raya itu tertakluk kepada peruntukan undang-undang persekutuan.
Soal sama ada berlaku kekosongan dalam sama ada Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri-Negeri bergantung kepada keputusan Speaker, bukan pihak lain termasuk Mahkamah dan SPR seharusnya akur dengan pemakluman oleh Speaker. Inilah antara perkara penting yang menjadi perbahasan kerana ada ketikanya, SPR bertindak atas pemakluman Speaker dan ada kalanya SPR sendiri membuat keputusan sama ada kekosongan itu berlaku atau sebaliknya.
Perkara sedemikian tidak berlaku semasa SPR dipimpin oleh almarhum Tan Sri Ahmad Perang dan tidak pula berbangkit masalah besar atau sebarang perasaan sangsi terhadap kebebasan SPR. Perkara yang sama boleh dikatakan wujud semasa Tan Sri Abdul Rashid menjadi pengerusi SPR. Tetapi, di bawah kepimpinan pengerusi yang ada sekarang, ketakpuasan hati mengenai kebebasan dan ketelusan SPR dibangkitkan termasuk oleh Bersih 2.0.
Mungkin benar apa yang dikatakan oleh Datuk Abdul Razak bahawa perlantikan pesara kerajaan untuk mengetuai SPR mungkin tidak akan dilihat sebagai mampu 'bebas sepenuhnya' kerana mereka begitu dekat dengan pihak pentadbiran dan dilantik pula atas cadangan pentadbiran.
Bagaimanapun, saya yakin kerajaan tidak akan beralih daripada apa-apa amalan yang membawa kebaikan kepadanya. Oleh itu, kita akan terus melihat SPR diketuai oleh pesara kerajaan yang dipilih oleh pihak pentadbiran.
0 orang berkata:
Post a Comment