Saya sebenarnya mahu beri Bersih 2.0 Stadium Shah Alam, kata Najib
July 31, 2011
KUALA LUMPUR, 31 Julai — Datuk Seri Najib Razak berkata beliau sebenarnya berhasrat mahu menawarkan Stadium Shah Alam kepada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih 2.0) untuk berhimpun, namun gabungan 62 badan bukan kerajaan itu memilih Stadium Merdeka sebagai lokasi.
Najib sebelum ini tidak pernah mencadangkan mana-mana lokasi stadium kepada Bersih 2.0, sebaliknya hanya berkata bersedia menawarkan stadium.
Bagaimanapun Bersih 2.0 yang dipengerusikan Datuk Ambiga Sreenevesan mahu menggunakan Stadium Merdeka bagi menjayakan Himpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai lalu.
Namun polis tidak mengeluarkan permit kepada Bersih 2.0.
“Kita mahu ia (perhimpunan) dilakukan ikut saluran yang betul, sebab itu kita tawarkan stadium. Mengapa kita tawarkan stadium? Supaya mereka boleh berucap dan tidak turun ke jalanan kerana tiada sesiapa yang boleh jamin perhimpunan di jalan tidak akan timbulkan apa-apa masalah.
“Kita cadangkan stadium tapi tidak diterima, mereka masih mahu turun ke jalan . . . dalam pemikiran saya, saya mahu berikan Stadium Shah Alam tapi mereka tolak,” kata Najib pada majlis perasmian penutup Persidangan Tahunan Pemimpin Mahasiswa Malaysia Summit (MSLS) Kelima di sini.
Jelas beliau, perhimpunan yang dibuat di stadium lebih selamat daripada diadakan di jalan.
“Kalau kita buat (perhimpunan) di jalan siapa yang boleh jamin tiada orang (awam) berada di sana? Siapa dapat jamin tiada masalah yang akan timbul?
“Setiap rakyat Malaysia dilindungi, sebab itu kita mahu ia (Himpunan Bersih 2.0) dibuat di stadium,” katanya di hadapan kira-kira 1,000 perwakilan kalangan mahasiswa.
Himpunan Bersih 2.0 menyaksikan hampir 1,700 peserta telah ditahan termasuk pemimpin Bersih 2.0 dan Pakatan Rakyat.
0 orang berkata:
Post a Comment