KIBARAN MEGAH BENDERA NEGARA SEMPERNA KEMERDEKAAN TELAH HILANG DARI LUBUK HATI RAKYAT !
Merdeka yang hilang? |
Posted on Wednesday, August 31 @ 03:16:09 PDT by paktam
oleh SYAHREDZAN JOHAN
Setiap kali tiba bulan kemerdekaan, akan kedengaran di corong-corong udara, persoalan yang sering dikemukakan: apa erti kemerdekaan? Persoalan ini banyak bersangkut-paut dengan perspektif ortodoks kita tentang apa itu patriotisme, yang telah dipupuk sejak dari bangku sekolah lagi. Kita diuli untuk melihat patriotisme melalui kaca mata hitam putih yang sempit.
Patriotisme adalah bendera. Patriotisme adalah nyanyian lagu-lagu kenegaraan. Patriotisme adalah perarakan warna-warni. Patriotisme adalah anak Melayu, anak Cina dan anak India tersenyum lebar dan berterima kasih kerana kemakmuran negara.
Patriotisme maknanya kesyukuran. Patriotisme itu ikrar mempertahankan agama, bangsa dan negara. Patriotisme maksudnya menerima seadanya.
Erti kemerdekaan dibentuk mengikut acuan yang disediakan melalui sistem pendidikan kita. Mengikut acuan ini, merdeka itu mengingati pejuang-pejuang kemerdekaan silam, seperti Tok Janggut, Rentap, Datuk Maharajalela serta tokoh-tokoh Perikatan yang membawa kemerdekaan.
Kita kemudian disajikan dengan filem-filem bertemakan perjuangan seperti Sarjan Hassan dan Bukit Kepong. Merdeka akan menyaksikan pemimpin memegang bendera kecil dan mengibarkannya bersama-sama dengan rakyat marhaen.
Maka, apabila bulan kemerdekaan tiba dan kurangnya kibaran bendera, kita mula panik, kita mula gempar. Kita lakukan perkara-perkara drastik seperti memaksa pemilik bangunan untuk menggantung bendera. Kita banjirkan lagu dan program yang dikatakan ‘patriotik’. Seperti biasa, patriotisme dan merdeka itu dikerah dan disumbat ke dalam diri kita. Semuanya untuk memastikan konsep kemerdekaan yang telah diiktiraf itu dipelihara dan patriotisme itu tampak di mata.
Anak muda kemudiannya dituduh tidak kenal erti kemerdekaan. Dikatakan, generasi masa kini tidak patriotik. Kurangnya bendera bermakna rakyat tidak lagi mencintai negara. Oleh kerana kita tidak lihat simbol dan ikon ortodoks kemerdekaan, kita terus membuat kesimpulan bahawa merdeka itu telah hilang di hati. Terburu-buru kita mencari merdeka yang entah ke mana.
Tetapi, ‘erti’ kemerdekaan itu harus dilihat semula. Ia tidak boleh dikongkong oleh satu interpretasi sahaja dan ia tidak boleh hanya berlabuh di lautan silam. Merdeka harus kontemporari dan harus sentiasa relevan.
Bagi saya, kemerdekaan itu diluahkan melalui Perkara 5 Perlembagaan Persekutuan, yang menjamin hak untuk hidup dan kebebasan diri. Ia bukan hanya terhad kepada hak untuk wujud dan bernyawa, tetapi juga merangkumi kebebasan untuk menikmati kehidupan berkualiti. Oleh itu, seorang anak Malaysia bebas untuk menjalani kehidupan bermakna kerana kemerdekaan yang dikecapi.
Kita lupa sebenarnya. Dalam ketaksuban kita mencari petanda-petanda patriotisme yang kita kenal, kita tidak menyedari bahawa semangat cinta akan negara tidak mempunyai hanya satu manifestasi. Patriotisme itu bukan sahaja merah, putih, kuning dan biru, ia boleh terbit melalui jalur-jalur warna yang lain. Oleh kerana sudah sekian lama kita disuap dengan satu interpretasi kemerdekaan, kita sukar untuk melihat interpretasi lain yang mungkin ada.
Terdapat begitu banyak cara seseorang rakyat Malaysia meluahkan perasaan cinta akan negaranya. Dia tidak perlu menuturkan kata-kata tersebut, cinta itu boleh terlihat melalui perilakunya. Seseorang berpolitik demi melihat Malaysia yang lebih baik sama patriotiknya dengan anak muda yang berkumpul di Dataran Merdeka setiap malam minggu atas dasar demokrasi. Seorang pemain gitar dalam kugiran yang menyanyikan lagu-lagu rakyat sama patriotiknya degan aktivis yang ingin memartabatkan Perlembagaan. Kasih mereka sama, cara mereka berbeza.
Semangat patriotisme tidak akan lahir dengan paksaan. Ia harus dipupuk dan digalakkan, walaupun apa rupa bentuknya. Kerana seperti cinta-cinta yang lain, cinta kepada negara itu adalah sesuatu yang bersifat semula jadi yang akan hadir bila tiba waktunya, tidak diundang dan tidak dipinta.
Penulis adalah seorang peguam muda dan rakan kongsi di sebuah firma guaman di Kuala Lumpur.
0 orang berkata:
Post a Comment