Pemilik tanah Kg Baru mahu akta baru ditarik balik
September 27, 2011
KUALA LUMPUR, 27 Sept — Seorang pewaris tanah Kampung Baru hari ini membuat pendirian bahawa majoriti pemilik tanah di kawasan penempatan eksklusif orang Melayu itu mahu Rang Undang-Undang Perbadanan Kampong Baru ditarik balik dan dibincangkan semula sebelum dibawa masuk ke Parlimen. Menurut Mohd Nor Hassan, 56, semenjak rang undang-undang itu dibacakan kali pertama Disember lalu majoriti pemilik dan pewaris tanah sudah membantah cadangan itu, namun tidak dipedulikan kerajaan.
Selain itu, jelas beliau yang merupakan generasi kedua Kampung Baru, majoriti pemilik dan pewaris tanah termasuk dirinya menolak rang undang-undang kerana ia tidak memberi jaminan bahawa hak mereka akan dipertahankan sekiranya bersetuju dengan cadangan itu.
“Perkara yang asal tidak diubah, malah dimasukkan semula dalam rang undang-undang... maaf cakap ini satu penipuan oleh menteri yang kata untuk bentangkan kepada kami dulu tapi akhirnya pada 17 Disember dia bentangkan dulu di Parlimen kemudian pada sebelah malam baru kepada kami.
“Malah, ada beberapa perkara yang dibantah keras oleh kami termasuk kuasa mutlak di bawah kuas menteri, imuniti kepada perbadanan, jumlah keanggotaan dan MAS (Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu) tidak dibubarkan maknanya kalau kesemua perkara ini tidak dipinda perbadanan boleh mengambil tanah kami secara paksa rela dan perbadanan boleh rampas tanah kami,” katanya pada sidang media di sini.
Malah tegas Mohd Nor yang juga Timbalan Pengerusi Sekretariat Pembangunan Kampung Baru, kerajaan tidak ikhlas untuk membincangkan tentang hala tuju rang undang-undang itu, sebaliknya memutuskan untuk terus bawa ke Parlimen untuk bacaan kali kedua.
“Kami tidak nampak keikhlasan kerajaan, tarik balik rang undang-undang ini dan bincang balik dengan kami kemudian baru bawa masuk balik... kami tidak tentang pembangunan tetapi kami menentang cara kerajaan yang nak mengambil alih dengan cara yang tidak elok, guna Parlimen untuk ambil alih hak kami.
“Kami menentang seratus peratus rang undang-undang ini, majoriti membantahnya,” katanya. Selain itu, beliau juga mahu Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin mendedahkan perkembangan terkini tentang referendum yang diserahkan kepada pemilik dan pewaris tanah membuat keputusan.
Pada Jun lalu, hanya 30 peratus borang referendum itu telah dikembalikan, namun tiada keputusan tentang jumlah yang menyokong atau menentang.
“Tiga puluh peratus ini dari mana? Siapa yang hantar? Sehingga kini tiada rekod... dan untuk rekod terdapat 4,000 pemilik dan pemaris tanah tapi ramai yang sudah tidak duduk di Kampung Baru, malah semasa penjelasan dibuat tentang pindaan itu hanya segelintir sahaja yang hadir.“Menteri hanya cakap sahaja, tiad bukti... cakap macam mainan bagi dia,” katanya.
Sementara itu, Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub memberitahu, langkah kerajaan untuk meneruskan bacaan kali kedua di Parlimen bertentangan dengan pendirian pemilik dan pewaris di tanah berusia 111 tahun itu.
“Penangguhan bacaan kali kedua sebelum ini membuktikan rang undang-undang ini tidak masak, tidak sempurna dan cacat maka satu perundingan yang serius perlu dilakukan yang perlu melibatkan wakil penduduk yang sah termasuk badan bukan kerajaan yang ada di Kampung Baru.
“Selain itu, menteri juga sebelum ini berkata referendum akan menjadi asas utama sama ada rang undang-undang ini akan diteruskan atau tidak, borang referendum telah dihantar dan saya difahamkan pada Jun hanya 30 peratus yang telah mengembalikan borang itu,” katanya.
Justeru jelas beliau, langkah terbaik yang harus diambil kerajaan adalah menarik semula rang undang-undang itu dan dibincangkan semula dengan pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru.
0 orang berkata:
Post a Comment