Lelaki parah ditembak di Kepong
28/09/2011 10:41pm
KUALA LUMPUR — Seorang lelaki berada dalam keadaan kritikal apabila terkena dua das tembakan di bahagian perut dan tangan semasa sedang minum di sebuah restoran di Jalan Prima 2, Kepong, dekat sini hari ini.
Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata kejadian berlaku kira-kira jam 5.45 petang ketika mangsa yang hanya dikenali sebagai Subramaniam, 47, sedang minum seorang diri.
"Mangsa minum sendirian ketika ditembak dari jarak 20 meter oleh seorang daripada dua suspek yang memakai topi keledar penuh yang menaiki motosikal jenis Yamaha RXZ berwarna biru.
"Hasil siasatan polis mendapati suspek melepaskan 12 das tembakan bertalu-talu ke arah mangsa menyebabkan mangsa rebah di tempat kejadian dan dikejarkan ke Hospital Selayang oleh orang awam,” katanya kepada pemberita di tempat kejadian.
Khairi berkata, selain itu, dua individu lain turut cedera akibat terkena tembakan tersebut. "Tembakan turut mencederakan seorang pelanggan lelaki dan seorang wanita yang sedang lalu berhampiran tempat kejadian...masing-masing cedera ringan di bahagian kaki.
"Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh,” katanya.
0 orang berkata:
Post a Comment