Followers

click for translator to read my artichel

English French German Spain Italian Dutch

Russian Portuguese Japanese Korean Arabic Chinese Simplified

Akta Kerja: Bincang isu secara dalaman, presiden MTUC gesa gabungan

December 17, 2011
 
KUALA LUMPUR, 17 Dis Khalid Atan, yang baru genap setahun mengetuai Presiden Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), mengajak kesatuan gabungannya yang mempertikaikan kepimpinan berhubung kontroversi pindaan Akta Kerja agar menyelesaikan apa jua krisis dan rungutan secara dalaman.

Kata beliau, pertengkaran menerusi media hanya akan memberi gambaran buruk tentang MTUC di kalangan orang luar.

Sejak seminggu lalu, beberapa kesatuan gabungan mempertikaikan kepimpinan MTUC dengan mendakwa pemimpin-pemimpin tertinggi badan induk kesatuan sekerja itu membisu dan tidak melayan permintaan agar diadakan mesyuarat khas majlis am membincangkan isu pindaan Akta Kerja.

Ia merupakan kenyataan pertama Khalid (gambar) berkenaan pendirian beberapa kesatuan gabungan bahawa pihaknya akan membawa usul undi tidak percaya ke atas pemimpin-pemimpin tertinggi MTUC.

“Jika ada apa-apa kekurangan, dapatkan penjelasan daripada kepimpinan... itu adalah lebih baik daripada mendedahkan kepada umum, yang akan memburukkan persepsi di kalangan orang luar,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.

“Itu adalah lebih penting. Semuanya terletak di tangan (kita)... kita kena menuju ke arah lebih baik,” kata Khalid yang mengambil alih jawatan presiden MTUC Disember 2010.

Beliau berkata, MTUC akan mengadakan mesyuarat jawatankuasa kerja pada 29 Disember ini dan disusuli dengan mesyuarat exco bagi membincangkan perkembangan terbaru mengenai isu Rang Undang-undang Kerja (Pindaan 2011).

Kedua-dua mesyuarat itu dijangka akan menentukan tarikh mesyuarat majlis am, yang diminta kesatuan gabungan dan agendanya.

“Kita akan menghuraikan (di mesyuarat jawatankuasa kerja dan exco) dan dengan itu mencari jalan terbaik,” kata beliau lagi ketika diminta mengulas kenyataan sebuah kesatuan gabungan MTUC, yang memutuskan untuk membawa undi tidak percaya ke atas kepimpinan tertinggi badan induk pekerja atas alasan terus membisu dalam isu pindaan Akta Kerja.

MTUC memprotes Rang Undang-undang Kerja khususnya berkaitan dengan sistem kontraktor bagi tenaga kerja.

Sambil mendakwa presiden dan setiausaha agung tidak memperlihatkan sikap proaktif mengenakan tekanan ke atas kerajaan dan gagal memberi gambaran mengenai perkembangan semasa, Presiden Kesatuan Pekerja-pekerja KTM Berhad (RUM), Abdul Razak Md Hassan berkata, pihaknya akan membawa usul itu pada mesyuarat majlis am MTUC akan datang.

Pengerusi MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan N. Gopal Kishnam berkata sekitar lima kesatuan gabungan telah pun menulis kepada setiausaha agung MTUC, sejak awal minggu ini, meminta dipanggil satu mesyuarat khas majlis am, tetapi nampaknya tiada respons.

“Oleh kerana RUM sudah membuat keputusan mahu membawa usul undi tidak percaya, kami kena kaji pendirian MTUC Selangor-Wilayah Persekutuan,” katanya.

Jelas beliau, jika kesatuan berkenaan boleh membuktikan kepimpinan tertinggi MTUC telah gagal menjalankan tanggungjawab dengan baik, perkara itu boleh dibawa dan dibincangkan.

Razak dalam kenyataannya menambah, tindakan membisu dan melepaskan tengkuk adalah satu sikap yang paling hipokrit.

Jika pemimpin hanya mendiamkan diri, katanya, maka yang menjadi mangsa ialah kaum pekerja.
“RUM tiada pilihan lain akan terus menentang pindaan ini. Jangan salahkan RUM kerana menentang, RUM bukannya seperti lembu dicucuk hidung, RUM ada pendiriannya sendiri. Tanya kepada mereka yang bertanggungjawab mencetuskan idea sehingga mewujudkan pindaan ini, tanya kepada mereka yang bijak pandai dalam mewujudkan idea ini. RUM tetap akan menentang sebarang perkara yang secara jelas mengusik faedah pekerja,” katanya sambil menegaskan, kepimpinan MTUC perlu memikul tanggungjawab.

Selasa lalu, MTUC bahagian Selangor-Wilayah Persekutuan menggesa kerajaan mengadakan satu suruhanjaya diraja bagi menyiasat motif Rang Undang-undang Kerja, yang mendapat bantahan keras badan induk pekerja itu.

Ia menegaskan, selain diadakan satu suruhanjaya diraja, kepimpinan kongres itu juga perlu mengadakan piket nasional kedua bagi terus mengenakan tekanan ke atas kerajaan berhubung Rang Undang-undang Kerja.

Rang undang-undang itu telah diluluskan oleh Dewan Rakyat pada 6 Oktober lalu — tiga hari selepas MTUC mengadakan piket di pekarangan bangunan Parlimen.

MTUC mengadakan piket kebangsaan pada 3 November dan perhimpunan peringkat Selangor-Wilayah Persekutuan, 2 Disember lalu.

0 orang berkata:

free counters
 
Home | Gallery | Tutorials | Freebies | About Us | Contact Us

Copyright © 2009 PakKaramu |Designed by Templatemo |Converted to blogger by BloggerThemes.Net

Usage Rights

DesignBlog BloggerTheme comes under a Creative Commons License.This template is free of charge to create a personal blog.You can make changes to the templates to suit your needs.But You must keep the footer links Intact.