Mohamad Sabu
Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu
KUALA LUMPUR - Inkuiri Suhakam menunjukkan kecederaan dialami oleh Timbalan Presiden Pas, Mohamad Sabu berpunca daripada pelanggaran dengan kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM), ketika perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai 2011, tetapi tidak terdapat bukti konklusif mengenai cara insiden itu berlaku.

Laporan penemuan dikeluarkan hari ini berkata, tiada bukti sama ada kenderaan PDRM yang telah melanggar beliau dan penunggang motosikal, Mohd Zulkifli Abdul Halim atau kedua-dua mereka sendiri melanggar kenderaan polis dalam usaha untuk mengelak diri daripada ditangkap atau pelanggaran tersebut berlaku dengan begitu saja tanpa sesiapa yang melakukannya dengan sengaja.

Perkara itu terkandungan dalam laporan siasatan awam ke atas dakwaan pelanggaran hak asasi manusia termasuk penggunaan kekerasan yang melampau sebelum dan semasa perhimpunan Bersih 9 Julai 2011.