Penguat kuasa DBKL diberi latihan hadapi perhimpunan haram
Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin
 
KUALA LUMPUR - Umno mencabar PKR mengemukakan bukti jika pihaknya benar-benar mendalangi insiden serangan ke atas ceramah Perdana PKR di Lembah Pantai, Khamis lalu.

Ketua Umno Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin berkata,  pihaknya memberi amaran yang pihaknya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika Pakatan Rakyat (PR) memfitnah mereka secara berterusan.


"Jika kami benar-benar bersalah, kemukakan bukti yang kukuh. Video yang diserahkan itu belum cukup kukuh untuk menunjukkan Umno bersalah," kata beliau pada sidang media selepas menyempurnakan majlis "Santai Pemimpin Bersama Pesara Lembah Pantai.


Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar menyerahkan rakaman video kepada polis berhubung insiden itu bagi membuktikan Umno benar-benar terlibat dalam serangan tempoh hari.


Beliau yang juga Naib Presiden PKR  menyerahkan dua pautan video yang disiarkan dalam portal, menunjukkan provokasi dimulakan Umno.


Raja Nong Chik yang juga Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar berkata, PKR cuba menimbulkan isu ini dan menggunakan video untuk meraih undi penduduk kawasan Lembah Pantai.


"Mereka sepatutnya menumpukan matlamat parti dan membuktikan perubahan yang mampu  mereka lakukan apabila memerintah kelak, bukan menggunakan politik kotor ini," kata beliau lagi.


Tambah beliau, pihaknya sedia menerima hukuman pihak berkuasa jika ahli Umno benar-benar bersalah memulakan insiden itu.


Seorang warga emas cedera di kepala terkena objek keras dan seorang kanak-kanak berumur 12 tahun patah tangan terkena bata ketika berada dekat kawasan ceramah.


"Kami tetap dengan pendirian tidak akan menyalahkan mana-mana pihak sama ada Umno atau PKR yang memulakan insiden ini kerana perkara ini masih berada dalam siasatan," ujar beliau lagi.


Beliau juga menyarankan agar ceramah dan sebarang majlis berkaitan parti politik sewajarnya dibuat di kawasan tertutup dan tidak mengganggu penduduk kawasan sekitar.


Beliau turut menambah, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak layak menjadi calon Perdana Menteri kerana tidak mampu mengawal keadaan pada malam kejadian, sebaliknya mengeluarkan perkataan kesat yang ditujukan kepada Umno.