DAP: PRU13 bakal muncul pilihan raya paling ganas
Lim Guan Eng
SHAH ALAM - DAP, komponen Pakatan Rakyat (PR), mendakwa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) bakal muncul sebagai pilihan raya paling ganas dalam sejarah akibat keadaan terdesak Barisan Nasional (BN) untuk kekal kuasa tanpa mengira apa kaedah untuk memperoleh undi dan sokongan rakyat.

Setiausaha Agungnya, Lim Guan Eng berkata, sejak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menggunakan ungkapan "dahsyat iaitu kalau berkecai tulang dan juga badan, walau bercerai jasad dari nyawa", menunjukkan Umno makin menggunakan bahasa kebencian dan keganasan dalam arena politik.


"Seruan Najib pada hari itu membuktikan bahawa bahasa keganasan bukan sekadar terhad kepada kata-kata tetapi sudah pun menjadi tindak-tanduk samseng yang ganas dan tidak berakal," kata beliau dalam kenyataan dikeluarkan hari ini.


Sehubungan itu kata beliau, DAP mahu mengingatkan agar BN mengambil iktibar daripada taktik-taktik keganasan bekas Presiden Mesir, Hosni Mubarak terhadap rakyatnya yang akhirnya telah gagal dan ditolak.


"Rakyat sudah tidak takut dengan taktik-taktik penindasan kerana mereka mahukan kebebasan," katanya lagi.


Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang berkata, walaupun keganasan penyokong-penyokong Umno terhadap para pemimpin dan penyokong PR sudah dibuktikan dengan gambar dan rakaman video, mereka yang bertanggungjawab masih belum didakwa di mahkamah.


"Malah penyokong-penyokong Umno yang dirakam memukul dan mencederakan wartawan dan jurugambar di Pulau Pinang dalam dua insiden pada Julai lepas dan 26 Februari lalu juga tidak didakwa," katanya dengan merujuk kepada insiden ketika ceramah perdana PKR di Lembah Pantai, Khamis lalu.


Selain itu, Guan Eng juga pihaknya mengecam keganasan bersiri dalam tempoh beberapa minggu lalu ketika acara-acara Pakatan Rakyat, yang membabitkan pemimpin-pemimpin PR di Felda Lepar Hilir, Pahang; Sembrong Johor, Padang Kota Lama, Pulau Pinang; Merlimau, Melaka; Pekan Bangi, Kuala Kangsar dan di Pengerang, Johor.


Katanya, kegagalan polis dan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan ke atas samseng-samseng di kalangan penyokong BN hanya akan menggalakkan lebih keganasan terhadap pemimpin-pemimpin dan penyokong-penyokong PR.


"Ini membuktikan bahawa kerajaan BN tidak berminat dengan pilihan raya yang bersih, bebas dan adil tetapi ingin menyemai ketakutan dan sanggup mempertikaikan demokrasi.


"DAP menyatakan kebimbangan untuk keselamatan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menjadi sasaran utama ahli-ahli Umno.


"Adakah pemimpin-pemimpin PR, termasuk Ketua Menteri dan wakil-wakil rakyat, perlu dicederakan sebelum apa-apa tindakan diambil untuk melindungi mereka bagi memastikan kempen politik yang bebas daripada keganasan?" katanya lagi.